Ketika negara berdepan dengan cabaran pandemik, ramai rakyat di luar sana menerima kesan dan impak terutama apabila membabitkan pekerjaan.

Antara yang hilang punca pendapatan adalah seorang bekas penghibur berkostum adiwira, Mohd Shahril Hamzah, 27.

Menurut Mohd Shahril, dia terpaksa mencari inisiatif lain untuk meneruskan kehidupan selepas wabak COVID-19 membataskannya mencari pendapatan.

“Jadi saya memanfaatkan kreativiti dan pengalaman mengenakan kostum ‘Spiderman’ untuk menjual belon pelbagai bentuk dengan bayaran seikhlas hati.

“Pada awal berniaga sekitar Jun lalu saya mengenakan bayaran sekitar RM1 sehingga RM2 untuk setiap belon, bergantung kepada bentuk yang dihasilkan.

“Namun sejak beberapa bulan lalu terjadi satu peristiwa di mana seorang bapa tidak mempunyai wang untuk membeli belon yang diminta-minta oleh anaknya.

“Kejadian itu sangat terkesan bagi saya. Sejak itu saya mengambil keputusan untuk berniaga belon dengan bayaran seikhlas hati memandangkan saya turut menyedari masih ramai yang hidup susah terutamanya ketika tempoh sekarang,” katanya.

Tambah Mohd Shahril, dia mengambil masa selama tiga bulan untuk mempelajari ilmu-ilmu dan selok-belok untuk menghasilkan belon pelbagai bentuk.

“Malah saya berlajar semua ni hanya menerusi laman YouTube.

“Alhamdulillah saya mampu berdikari dan berniaga belon sebagai sumber rezeki saya,” katanya.

Sumber : BERNAMA