Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Hilang Rindu, Allah Sayang” - Netizen Teruja Ustaz Ebit Lew Kembali Aktif Di Media Sosial!

Hanafis Haris
05/10/2021 02:16 MYT

Selepas agak lama menyepi daripada dunia media sosial, pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew kembali memunculkan diri apabila memuat naik sebuah video di Instagramnya, semalam.

Biarpun hanya sekadar berdurasi kurang 10 saat, namun video tersebut ternyata membuatkan ramai teruja melihat Ebit.

Menerusi video berkenaan, Ebit kelihatan sibuk mengira barangan yang dipercayai dijual daripada pasar raya miliknya iaitu Elews Mart.

“Segala puji bagi Allah,” tulisnya ringkas sebagai kapsyen.

Menerusi ruang komen, rata-rata pengikut Instagramnya meluahkan rasa syukur apabila dapat melihat Ebit kembali aktif di platform media sosial.

Malah, ramai yang seakan ‘melepaskan’ rindu melihat kemunculan pendakwah popular tersebut.

“Rasa macam lama tak tengok Ustaz Ebit Lew, rindu rasanya Allah Sayang”.

“Hilang rasa rindu, moga Allah permudahkan urusan”.

“Harap semuanya dalam keadaan baik dan tabah hadapi dugaan,” tulis beberapa netizen.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)

Sekadar info, posting terakhir di Instagram milik Ebit adalah pada 24 September ketika dia dan isterinya bercuti di Langkawi.

Menerusi posting itu, Ebit memuat naik satu video memaparkan dia bersama isterinya menaiki jet ski di pulau peranginan berkenaan berserta kapsyen yang sungguh romantis buat isteri tersayang.

“Bidadariku, baikkan Allah temukan kita. Dialah Allah yang temukan kita. Terima kasih Allah yang tak berhenti beri nikmat dalam hidup kita. Syukur pada Allah. Tak tahu nak ucap bagaimana,” katanya.

Terdahulu, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew dipanggil buat kali pertama ke Bukit Aman untuk dirakam percakapannya pada 19 Ogos lalu berhubung siasatan dakwaan gangguan seksual.

Ebit Lew kemudian dipanggil sekali lagi ke Bukit Aman, Jumaat lalu untuk diambil keterangan berhubung siasatan sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan mengesahkan telah memanggil semula pendakwah itu bersama isterinya ke Bukit Aman.

Difahamkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan polis.

BACA: Ebit Lew Dan Isteri Sekali Lagi Dipanggil Polis, Bantu Siasatan




#Viral #EbitLew #UEL
;