Hiburan
Hilang Semangat Ketika Pandemik COVID-19? Siti Nurhaliza Akhirnya Tampil Membawa 'Berita Gembira'
Menyambut bulan Ramadan ketika penularan wabak COVID-19 ini pastinya antara cabaran yang terpaksa dihadapi seluruh dunia ketika ini.
Namun di saat orang ramai mula hilang semangat dengan dugaan tersebut, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil membawa 'perkhabaran gembira' apabila muncul dengan single baharu berjudul Basyirah.
Untuk makluman, Basyirah diambil daripada perkataan Arab membawa maksud khabar gembira dan lagu tersebut merupakan hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun manakala liriknya pula hasil nukilan, Ahmad Fedtri Yahya.
Menurut Siti atau lebih mesra dipanggil Tokti, dia tertarik dengan melodinya yang mempunyai unsur timur tengah.
"Basyirah berjaya saya rakamkan khusus untuk single Ramadan kerana bersesuaian dengan suasana kita sekarang ini.
"Pertama kali mendengar melodinya, Siti akui jatuh hati kerana ia ada tarikan tersendiri. Tak dinafikan, ketika rakaman saya berasa sebak dan cuba menyampaikan seluruh maksud dalam lagu ini dengan penuh penghayatan,"katanya.
Menurut Tokti, walaupun lagu ini dilancarkan pada bulan yang penuh keberkatan ini, namun liriknya tidak menyentuh secara langsung mengenai Ramadan.
"Sebaliknya ia adalah satu metafora terhadap situasi yang dialami dunia hari ini yang sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19.
"Lagu ini juga menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik ini.”
"Saya harap Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh dunia terutamanya petugas barisan hadapan yang berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara," katanya menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan hari ini.
Sementara itu menerusi Twitter, Tokti turut menyuarakan kebimbangan sekiranya lagu berkenaan dimuat naik secara tidak sah di saluran Youtube.
"Kita tidak akan menang atau menjadi nombor satu dengan sifat rakus memuatnaik dan menyebarkan lagu yang tidak sampai sejam pun dilancarkan dengan cara tidah sah.
"Belajarlah menghormati dan menghargai penat lelah dan hak orang lain," katanya.
.Kita tidak akan menang atau menjadi nombor satu dengan sifat rakus memuatnaik dan menyebarkan lagu yang tidak sampai sejam pun dilancarkan dengan cara ilegal..Belajarlah menghormati dan menghargai penat lelah dan hak orang lain.— Siti Nurhaliza (@CTNurhaliza11) May 7, 2020
Basyirah kini boleh didengar di semua pelantar digital dan difahamkan lirik video Basyirah akan ditayangkan di laman YouTube rasmi Siti Nurhaliza pada hari ini jam 3 petang.
Must-Watch Video