Ratu Rock Negara, Ella kini menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman cili.

Menurut Ella, dia memandang pertanian sebagai satu bidang penting yang mendatangkan pelbagai kebaikan serta keuntungan.

"Sekarang saya aktif dengan aktiviti pertanian, dahulunya bercucuk tanam hanya satu hobi, sekarang ia telah menjadi satu perkara serius untuk saya.

"Setakat ini, saya telah menanam cili secara komersial, bagi saya, jika saya serius dalam bidang pertanian, ia boleh mendatangkan pelbagai kebaikan dan keuntungan,"
katanya kepada Gempak.

Ella berkata demikian ketika ditemui di konsert Mingguan Muzik Malaysia (MMM) bertempat di Dataran Merdeka malam Ahad lalu.

Tambah Ella, dia kini sedang sibuk memenuhi pelbagai undangan persembahan dan beberapa konsert tempatan.

"Dalam kerjaya seni pula, saya kini sedang sibuk memenuhi undangan persembahan dan bebarapa konsert tempatan, Insya-Allah, saya merancang untuk mengadakan konsert jelajah tahun hadapan, tetapi semuanya masih dalam perancangan, semoga segala urusan saya dipermudahkan," tuturnya menutup bicara.

Konsert MMM telah mendapat sokongan dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan banyak lagi.

Malam itu turut menyaksikan persembahan hebat dari Faizal Tahir, Ayda Jebat dan beberapa artis tempatan yang lain.