Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
WATCH

Honda Civic EK9 Type R

Public Anonymous User 04/04/2018 | 09:25 MYT
Pengaruh kereta jenama Honda ini sememangnya sangat besar di Malaysia.

Tidak kiralah sama ada kereta baharu atau lama, pasti ada saja tangan yang gatal untuk menukar komponen bagi meningkatkan prestasi serta membuatkannya tampak lawa.

Tetapi untuk kenderaan seperti paparan kali ini, mungkin hanya mereka betul-betul berpoket tebal yang sanggup memilikinya kerana harganya memang mahal selain dikategori jentera ‘rare’.

Biarpun jentera ini agak berusia, ia tetap menjadi idaman ramai peminatnya.

Jadi paparan kali ini akan merungkai serba sedikit mengenai Honda Civic EK9 Type R yang dimiliki oleh saudara Apit Suduku.

Jika dilihat pada bahagian luaran, Honda Civic EK9 Type R dihiasi kit badan dari C-West yang tampak menarik lebih-lebih lagi apabila ditambah lampu sonar.

Bonet hadapan menggunakan jenama Spoon, manakala belakang dipasang spoiler Vortex.

Penampilannya diperhebatkan dengan lagi rim TE37 yang dibaluti tayar Toyo Proxes R1R dan pada masa sama memberi kadar cengkaman lebih padu di jalan raya.

Menjengah ruang kokpitnya, ia boleh dikatakan tampak agak bersahaja kerana masih banyak mengekalkan komponen asal.

Cuma boleh kelihatan stereng Sparco ‘dua’ kaki untuk mengawal jentera dengan memiliki enjin yang cukup bertenaga.

Sebaik membuka bonetnya, Honda Civic EK9 Type R dihuni enjin berkod B20B yang dinaik taraf dengan begitu teliti sekali.

Kepala silinder asalnya melalui proses ‘port & polish’ bagi memberi lebih kelegaan kepada sistem pengudaraan yang memasuki ruangan kebuk pembakaran.

Aci sesondol pula dipadankan bersama ‘cam pulley’ dari Works. Kekuatan ikatan antara kepala silinder dan blok pula diberi kepercayaan kepada ‘stud’ AVP.

Kotak udara berjenama Mugen disambungkan kepada unit ‘throttle body’ S90 yang diikatkan pada intake Skunk2.

Kuasa daripada enjin itu disalurkan kotak gear yang dilengkapi dengan klac berprestasi tinggi jenama OS Giken.

Talaan enjin lebih sempurna dan diperhebatkan dengan penggunaan unit ECU dari Hondata bagi memastikan kuasa terhasil menjadi lebih bertenaga berbanding standard.

Pendakap enjin Hasport pula memberi pegangan yang lebih kukuh antara rangkaian kuasa dan badan jentera sekali gus membantu meningkatkan prestasi lebih cemerlang.

Berikutan enjin yang mantap, sistem penyejuk perlu dinaik taraf dengan menggunakan radiator aluminium yang diikatkan di bahagian hadapannya.

>>Klik untuk lihat galeri gambar kereta ini

Tahap kestabilan pula dinaik taraf dengan sistem suspensi boleh laras dari GAB, selain sistem brek menggunakan kaliper Spoon lengkap pelapik yang mencengkam erat rotor dari Project U.

Segala kerja modifikasi dan naik taraf dilakukan oleh pihak Poji Autowork sekali gus memberikan satu kelainan pada Honda Civic EK9 Type R itu.