Honda Jazz GK 228hp!
Selain kereta nasional, kenderaan jenama Honda kerap menjadi buruan kaki modifikasi di Malaysia tidak kira apa model sekali pun.
Dari model sedan sehinggalah ke MPV, ada sahaja idea untuk melakukan modifikasi terhadap jentera jenama berkenaan.

Honda Jazz versi GK keluaran 2017 ini, sebenarnya sudah menjalani proses modifikasi pada tahap ekstrem dengan melakukan ubah suai luaran, dalaman serta rangkaian kuasa.

Jika membuka bonet hadapannya, terpampang sebuah enjin kapasiti besar yang diambil daripada model Honda Integra DC5 Type R.

Sebaik rangkaian kuasa itu dimasukkan, ia menjalani sedikit ubah suai luaran enjin membabitkan menggunakan pendikit badan, pam bahan api dan pendawaian Honda Civic FD2R serta pengurusan elektronik Hondata Flashpro.

Dengan adanya komponen itu, kuasa output Honda Jazz GK ini mampu mencecah 228hp pada ujian Dyno.

Bagi memberi imej sedikit berbeza, lampu hadapan dan belakang diambil dari model Honda Fit RS versi facelift iaitu model dari Jepun, selain menerima kemasan material gentian karbon pada lips serta side skirt.

Melihat ruang kabin, Honda Jazz GK dengan enjin K20A ini menjalani ubah suai yang minimum pada bahagian dalaman. Ia boleh dilihat dengan penggunaan tempat duduk Recaro, stereng Key Racing dan padanan meter Defi tiga beradik.

Jentera yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan itu ternyata terbaik dalam kelas modifikasi segmen hatchback di Malaysia. Buat masa ini, drebar difahamkan ia adalah satu daripada empat Honda Jazz GK di Malaysia yang menggunakan enjin K20A.
