"Hormat Agama Lain, Kalau Dekat Kubur Kita Macam Mana?" - PU Amin Mohon Maaf Isu Bergambar Di Kubur Kristian

Hanafis Haris
November 6, 2019 09:22 MYT
Pencetus Ummah (PU) Amin tampil memohon maaf kepada rakan-rakan beragama Kristian susulan tindakan pemilik butik pengantin yang menggunakan tanah perkuburan agama itu sebagai lokasi sesi fotografi.
Menerusi satu posting di Instagramnya, PU Amin ternyata kecewa dengan sikap pemilik butik tersebut yang disifatkan sebagai tidak menghormati agama lain.
"Mazhab mana pulak bergambar pakai baju pengantin dekat kubur Kristian ni. Mungkin nak promosi baju, mekap artis atau pakej kahwin atau sebagainya tapi macam mana boleh sampai ke kubur," katanya.
BACA: “Saya Terima Kritikan… Tapi, Tolong Jangan Salahkan Model Itu” – Pemilik Butik Pengantin Minta Maaf
Menurut PU Amin lagi, dia turut meminta pandangan dari rakannya yang beragama Kristian berhubung isu tersebut.
"Mereka orang Kristian sendiri ada pakaian khas untuk mereka ke kubur tanda hormat mereka..
"Mereka juga kecewa bila ada orang ambil gambar macam ni. Orang Kristian pun tahu adab dan cara bila di kubur. Hormatlah agama orang lain, kalau mereka buat dekat kubur kita macam mana ?
"Pada kawan-kawan Kristian saya minta maaf atas ketelanjuran ini. Ikutlah sabda nabi, tinggalkan benda pelik pelik," katanya.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata netizen turut mempersoalkan tujuan utama untuk memilih kawasan kubur berkenaan sebagai lokasi penggambaran.
Terdahulu tindakan pemilik butik berkenaan telah mencetus kemarahan netizen dan rata-rata mereka menganggap perbuatan tersebut sebagai tidak menghormati tanah perkuburan agama lain.
BACA: ‘Photoshoot’ Baju Pengantin Di Tanah Perkuburan Kristian Cetus Kemarahan Netizen!
Susulan itu, individu telah pun memohon maaf di atas kesilapannya.
Dia turut memohon warganet agar tidak menyalahkan model yang berada dalam gambar tular tersebut.