Mahkamah Majistret Jenayah 1, Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh 5 Mei depan sebagai tarikh baharu bagi serahan dokumen bagi pihak pelakon, Sharnaaz Ahmad, memfailkan representasi.

Kata Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, dia menghormati keputusan pihak mahkamah dengan hati yang terbuka meskipun kes itu sudah berjalan dari Januari lalu dan berlanjutan sehingga Mei depan.

“Saya rasa proses mahkamah memang lama, sebab saya pun pernah bercerai jadi saya tahu. Jadi kita kena faham bukan kita seorang saja hakim nak layan, kita ada prosedur, jadi kita kena ikut caranya. Kita hormati prosedur mahkamah,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Sharnaaz tiba di mahkamah tersebut pada jam 9.14 pagi bersama peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arifff.

Pada 18 Januari lalu, bintang filem The Original Gangster itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Sharnaaz dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif dan pintu masuk sebuah kondominium di Jalan Dutamas, pada jam 8.30 malam, 16 Jun tahun lalu.

Dalam masa sama, Sharnaaz turut meluahkan kesyukuran perjalanan kes tersebut berjalan dengan lancar.

“Alhamdullillah setakat ini perjalanan sangat lancar, dan kita pun mahu sampai bulan puasa, jadi saya harap benda ini boleh selesai seperti tarikh yang ditetapkan iaitu 5 Mei. Harap benda ini boleh selesai dalam tempoh itu. Kita tengok mana yang terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sharnaaz berkata dia menyerahkan semua pada kedua-dua peguamnya.

“Jujurnya pasal benda ini memang saya serahkan pada yang lebih arif, kalau nak tanya saya pasal berlakon, saya boleh jawab. Tapi kalau nak cerita pasal prosedur memang saya tak pandai.

“Saya serahkan pada orang yang tahu macam mana nak menguruskan keadaan ini. Jadi harap bila saya ada dua peguam yang sangat hebat di sebelah saya, saya senyum sajalah,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Datuk Abu berkata anak guamnya bahawa pihaknya akan menghantar representasi dan menunggu tarikh untuk keputusan.

“Pagi ini pembelaan sudah diserahkan dengan dokumen kepada pihak pendakwaan, jadi pihak pembelaan sudah memohon pada mahkamah untuk mendapatkan satu tarikh sebutan bagi pihak kami untuk memfailkan representasi dan sekali gus menunggu tarikh untuk keputusan.

“Jadi mahkamah sudah bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan tarikh sebutan akan datang pada 5 Mei.

“Sebelum ini saya ada katakan pihak kami akan memfailkan representasi dan rangka representasi sudah pun siap, dan pihak kami memasukkan beberapa maklumat penting, jadi mungkin dalam masa satu atau dua minggu, kami akan failkan representasi.

“Dalam itu kita ada minta kes ini ditarik dan selepas itu kita akan tunggu apa keputusan mahkamah. Jika mahkamah tidak bersetuju dengan representasi, kita akan mohon satu tarikh bicara ditetapkan,” katanya.

Tambah Mohamed Baharudeen, tujuan utama adalah untuk menggugurkan pertuduhan ini.

“Utamanya kami meminta pertuduhan digugurkan, tengok macam mana sebab kita baru dapat dokumen dan kita akan memperhalusi dokumen itu dengan perbincangan bersama Sharnaaz,” katanya.

Pada 16 Jun tahun lalu, polis menahan Sharnaaz selepas didakwa menumbuk dan menendang seorang lelaki sebuah kondominium di Segambut, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.

Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.

Pelakon terbabit yang melihat insiden datang menegur mereka sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka.

Berikutan kejadian, Sharnaaz direman empat hari dan dibebaskan sementara kertas siasatan lengkap untuk pertuduhan.

Sumber: BH Online