Hormati Bulan Ramadan, Ara Johari Manis Bertudung - “Niat Itu Ada, Mohon Doakan Yang Baik-Baik”
Mya Amri
19/03/2024 02:55 MYT
19/03/2024 02:55 MYT
Penampilan penyanyi, Ara Johari yang tampil cantik mengenakan hijab di bulan Ramadan menarik perhatian netizen.
Disebabkan itu juga ada yang tertanya tanya sama ada Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari ini sudah berhijab atau tidak.
Menjelaskan perkara itu, Ara berkata imej bertudung yang digayakan itu adalah bagi menghormati bulan Ramadan.
Bagaimanapun Ara tidak menolak bahawa dia juga sedang cuba menyesuaikan diri dengan imej berhijab dan berharap orang ramai dapat mendoakan yang baik-buat dirinya.
“Saya bertudung kerana menghormati bulan Ramadan dan juga bersesuaian dengan majlis berbuka puasa.
“Nak kata saya bertudung sepenuhnya, saya tidak berani nak cakap lagi, tapi doakan yang baik baik buat saya.
“Saya sendiri juga masih mencuba memakai hijab dengan menghadiri beberapa acara. Masa Ramadan memang saya cuba untuk bertudung,” katanya kepada Gempak.
Ara berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa jenama pakaian HeetamPuteh bersama anak-anak jagaan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) bertempat di Dewan Perkahwinan Lanai Asmara, Shaftsbury Square, Putrajaya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ara juga menyatakan rasa terharu dan bersyukur kerana menerima maklum balas positif mengenai perubahan penampilannya di bulan Ramadan.
“Alhamdulillah, saya banyak menerima komen positif dan ramai yang mendoakan. Saya tidaklah kata tak selesa sebab saya selesa bertudung.
“Insya-Allah doakan yang baik baik, mana tahu mungkin saya terus bertudung, tapi itu semua tidak tahu lagi.
“Saya masih berusaha untuk bertudung, niat itu ada tapi kita tidak tahu apa yang akan jadi pada masa hadapan.
“Sebab itu saya tidak berani nak cakap apa-apa. Apa yang boleh saya cakap doakan baik-baik,” ujarnyaX
Dalam perkembangan lain, Ara kini tidak lagi bersama syarikat pengurusan Rocketfuel dan bergerak di bawah syarikatnya sendiri iaitu 97 Entertainment.