BERITA

Hotel Kucing Untuk Hari Raya Sudah Penuh

Gempak 02/03/2025 | 14:55 MYT

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada penghujung bulan ini, pemilik kucing mula sibuk mencari tempat penginapan atau 'pet hotel' untuk 'anak bulus' mereka bagi memastikan haiwan itu mendapat penjagaan rapi sepanjang mereka bercuti di kampung.

Malah, tinjauan Bernama di laman X mendapati beberapa pengguna media sosial itu sudah mula mencari tempat penginapan untuk kucing mereka sejak tahun lepas lagi.
"Raya lambat lagi tapi hotel kucing dah kena book (tempah) dah. Hmmm baju raya pun tak tau nak colour (warna) apa lagi”, "Ya Allah Pet Hotel penuh semuanya” antara keluhan mereka.
Mengejutkan, namun kebanyakan hotel haiwan peliharaan sudah penuh ditempah sejak tahun lepas, sehingga mereka terpaksa mencari alternatif lain agar dapat beraya dengan tenang.
Menurut Rohani Majid, pemilik Orios Cat Hotel di Kajang, Selangor, pusat penginapan haiwan yang diusahakannya itu telah penuh ditempah sejak Disember tahun lepas meskipun ruangan kedainya boleh menempatkan hingga 80 ekor kucing pada satu-satu masa.
Jelas wanita berusia 47 tahun itu yang memulakan perniagaannya tiga tahun lepas, bagi menampung keperluan kucing yang berada dalam senarai menunggu, beliau terpaksa menyediakan sangkar besi.
"Di Orios Cat Hotel, kurungan penginapan si bulus diperbuat daripada kayu, tidak ada sangkar besi. Namun oleh sebab kita ada senarai menunggu, kita sediakan juga sangkar besi.
"Kucing-kucing itu tetap dijaga di premis kita, cuma ditempatkan di dalam sangkar besi. Ada juga pemilik yang mahu membawa sangkar sendiri,” katanya.
Sementara itu, menyedari peluang besar dalam bidang itu, Baharim Abu Bakar, 47, menawarkan perkhidmatan 'petsitter', iaitu menjaga haiwan peliharaan di rumah pemiliknya.
"Menerusi servis ini, kita pergi ke rumah untuk beri makan, bersihkan sangkar dan sebagainya serta meluangkan masa bermain dengan kucing sepanjang pemilik bercuti atau bekerja di luar kawasan,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak lapan tahun lalu.
Ujarnya, permintaan memuncak semasa musim perayaan, namun beliau mengehadkan kepada hanya 20 buah rumah pada satu-satu masa bagi menjamin kualiti perkhidmatan.
"Memang dah ramai yang tanya tentang home-to-home service ini terutamanya pelanggan setia, tetapi saya hanya akan buka tempahan pada bulan puasa nanti supaya adil, sekali gus dapat susun jadual perjalanan,” katanya yang menawarkan perkhidmatan di sekitar Lembah Klang, Selangor.
Beliau yang turut menguruskan Rumah Katsumi, iaitu pusat perlindungan kucing kurang upaya, mengenakan caj bermula pada RM50 bergantung pada jumlah kucing yang perlu dijaga.
"Selain memberi makan, membersihkan sangkar dan bermain dengan kucing-kucing tersebut, saya juga akan berkongsi perkembangan dengan pemilik kucing melalui rakaman video,” katanya, menambah beliau melakukan tugas itu seorang diri.
SUMBER: SINAR HARIAN MENERUSI BERNAMA

#Raya #Kucing #Hotel #Penuh #tempahan