BERITA
HTA Cipta Sejarah, Bayi Kembar Siam Berjaya Dipisahkan
Sepasang bayi kembar siam lelaki berusia tiga bulan berjaya dipisahkan menerusi pembedahan pada 24 Jun lalu, sekali gus mencipta sejarah baharu bagi Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kembar berkenaan merupakan Omphaloischiophagus Tetrapus Conjoined Twin, iaitu jenis kembar siam yang amat jarang berlaku di mana kedua-duanya bersambung di bahagian abdomen dan pelvis serta mempunyai empat kaki.
“Pembedahan bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 9.48 malam dengan pemisahan lengkap berlaku pada jam 5.43 petang.
“Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan kedua-dua bayi kini stabil serta sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut KKM, pembedahan bersejarah itu diketuai oleh Dr Mohd Yusof Abdullah, Datuk Dr Zakaria Zahari, Dr Intan Zarina Fakir Mohamed, Dr Phang Yee Yun serta pasukan bedah pediatrik HTA dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Ini merupakan kembar siam keempat yang berjaya dipisahkan di HTA sejak 2019 dan kes ke-19 secara keseluruhan dalam sejarah HTA serta HKL.
“Tahniah kepada seluruh pasukan atas usaha, kepakaran dan kerjasama luar biasa. Moga kedua-dua anak kecil ini terus membesar dengan sihat dan ceria,” katanya.
Sumber - Sinar Harian