HIBURAN
“Hubungan Dengan Ibu Sedikit Dingin” – Aliff Syukri Luah Rasa Sedih, Mahu Yang Terbaik Untuk Keluarga
Usahawan dan personaliti media sosial terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, akhirnya tampil bersuara mengenai situasi yang melanda keluarganya susulan konflik membabitkan ibunya, Rozita Ibrahim, dan pelakon Rebecca Nur Al-Islam.
Mengakui hatinya sedikit terguris, Aliff menyatakan bahawa hubungannya dengan ibu kini agak renggang namun dia tetap mendoakan yang terbaik buat wanita yang melahirkannya itu.
"Sejujurnya hubungan dengan ibu sedikit dingin. Adat dalam keluarga, ada pasang surutnya. Apa yang penting dalam doa saya tidak pernah melupakan ibu," katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan ibunya yang menyebut dirinya gagal mendidik anak-anak, Aliff tidak menafikan rasa kecewa dan malu dengan perkara itu yang kini menjadi perhatian umum.
"Ada kenyataan yang tidak perlu ditularkan seperti katanya dia gagal mendidik anak-anak. Itu agak memalukan saya," katanya.
Tambahnya lagi, perkahwinan semula ibunya juga sepatutnya boleh disimpan secara peribadi tanpa perlu menjadi tontonan ramai.
"Suami baru dia juga tahu sepatutnya perkahwinan ini tidak perlu dihebohkan. Sebagai anak, saya agak sedih."
"Nak lawan lebih-lebih, dia itu ibu saya. Saya hanya mahukan yang terbaik untuk keluarga."ujarnya.
Tidak Mahu Panjangkan Isu
Dalam masa sama, Aliff turut mempertahankan isterinya, Datin Seri Shahida, yang dilihat menjadi sasaran kecaman selepas meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pelakon Rebecca Nur Al-Islam.
"Isteri saya agak 'melatah' juga. Siapa senang kalau kena kecam? Saya tidak boleh nak burukkan lagi keadaan. Saya tenangkan apabila isteri sedang emosi."
Bagi Aliff, apa yang berlaku bukanlah sebuah drama yang direka untuk perhatian, sebaliknya benar-benar terjadi dalam keluarganya. Justeru, beliau memilih untuk tidak memburukkan keadaan dan menyerahkan segalanya kepada masa.
"Apa yang berlaku ini bukan satu drama yang kami cipta. Ia berlaku secara kebetulan. Saya tidak mahu panjangkan dan keruhkan lagi keadaan. Biarlah masa tentukan semua."
Terdahulu, konflik antara Rozita Ibrahim dan Rebecca Nur Al-Islam memuncak apabila Shahida, menantu Rozita, meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap Rebecca yang dikatakan berlebih-lebih mengenai perkahwinan ibu mentuanya.
Keadaan menjadi semakin hangat apabila muncul tuduhan mengatakan Rebecca menerima RM1.5 juta daripada Rozita, dakwaan yang telah dinafikan oleh pelakon tersebut.