Hujung Minggu Yang Panjang! Jom Santai-Santai Dengan Koleksi Cruise Jovian Mandagie!

Amri Hassan
September 6, 2019 07:17 MYT
Pertama kali menghamparkan koleksi cruise sempena pertunjukan fesyen Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW 2019) baru-baru ini, Jovian Mandagie sekali lagi mencuri perhatian ramai.
Sebanyak 30 rekaan ditampilkan sempena musim panas/bunga 2020 dan koleksi kali ini berinspirasikan daripada bayu laut Mediterranean di Capri, Itali.
Seperti namanya sendiri, Capri Collection menjalinkan jaluran nautika, cetakan floral, renda kapas dan motif kelasi dalam kebanyakan rekaan.
Jovian menampilkan rekaan unik seperti top A-line, jaket double breasted, sut, palazo, skirt paras betis, blaus, skirt maxi dan cullottes.
"Koleksi kali ini lebih segar dan effortless, yang pastinya sesuai untuk semua bentuk badan wanita," kata Datuk Jovian Mandagie.
Bermain dengan rona warna laut dan pasir, Jovian bijak menyatukan warna-warna ikonik koleksi cruise seperti putih, biru, khaki, merah jambu dan krim dalam helaian fabrik sutera sifon, crepe poliester, viscose, linen, tulle dan sutera crepe.
Malah, menaikkan seri setiap helaian dengan perletakan ikatan nautika yang direka menggunakan braid emas selain butang mutiara dan sudah pasti sentuhan sulaman magis Jovian sendiri.
Pada pertunjukan fesyen KLFW2019 baru-baru ini, Jovian turut berkolaborasi bersama Alfo dan Hanna B.
Koleksi Capri dijual dengan dua rangkaian harga iaitu 15 rekaan couture akan mula berada di butik Jovian Mandagie sejak 30 Ogos lalu manakala 15 lagi rekaan ready-to-wear mula dijual pada September ini.
Koleksi RTW dijual dengan harga antara RM159 hingga RM359 manakala koleksi couture dijual antara RM2,500 hingga RM8,500.
#Jovian Mandagie #KLFW 2019 #Cruise