BERITA
Hukuman Penjara Pemandu Navara Langgar Suami Isteri Dinaikkan Kepada 6 Bulan
Hukuman penjara 30 hari terhadap pemandu Nissan Navara yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan terhadap pasangan suami isteri di Lebuhraya Utara–Selatan berhampiran Plaza Tol Duta, telah dinaikkan kepada enam bulan.
Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas prosiding semakan terhadap jurujual alat ganti kereta, K Darmaraju, 32, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman denda dan hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun terhadap jurujual aksesori kereta berkenaan.
Dalam semakan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman berhujah bahawa hukuman penjara 30 hari yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret di sini terlalu singkat.
“Berbanding kecacatan kekal sepanjang hayat yang dialami mangsa, selain perlu bergantung kepada bantuan ahli keluarga serta rawatan di hospital,” katanya.
Sementara itu, peguam S Vinesh yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah tidak mengganggu keputusan Mahkamah Majistret minggu lalu.
Turut hadir bagi pihak tertuduh ialah peguam T Daneish.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa menunggang motosikal di lorong paling kiri lebuh raya sebelum didatangi kenderaan pacuan empat roda yang secara tiba-tiba memotong kenderaan mereka secara tidak selamat.
Tertuduh telah melanggar motosikal tersebut dan meninggalkan kedua-dua mangsa di lokasi kejadian.
Pada Selasa minggu lalu, Darmaraju dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap, iaitu 11 Mei lalu.
Kesalahan yang dilakukan turut direkodkan dalam lesen memandunya, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara selama 12 bulan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara berwarna hitam secara melulu di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Duta, pada jam 2.30 petang, 10 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Ia turut memperuntukkan kehilangan kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun serta pembatalan lesen percubaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri mengalami kecederaan selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda berdekatan Plaza Tol Jalan Duta.
Susulan kejadian itu, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Sumber: Sinar Harian