HIBURAN
Hutang RM4.65 Juta, Pembekal Tudung Dedah Terima Cek Tendang Dari Fazura? - "Ini Pengalaman Terburuk Pernah Saya Lalui"
"Saya sangat kecewa dengan apa yang sudah dia (Nur Fazura) lakukan. Ini pengalaman terburuk dan paling serius pernah saya lalui."
Ini kata pengasas merangkap Pengarah Urusan Obor Holding Sdn Bhd, Lim Boon Hai, 42, mengenai kegagalan syarikat milik pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura Sharifuddin membayar hutang berjumlah RM4.65 juta kepada pihaknya.
Lim atau dikenali sebagai Sam berkata, syarikatnya nekad memfailkan tuntutan di mahkamah selepas syarikat didakwa milik Fazura iaitu Pink Fate Sdn Bhd gagal membuat bayaran seperti dipersetujui.
"Kes ini sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan lalu (April). Notis juga sudah dihantar kepada syarikat milik selebriti berkenaan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
"Saya tidak sangka akan dilayan seburuk ini. Sejak hujung 2023, memang sukar untuk mendapatkan bayaran hutang daripada pihak mereka.
"Kami sudah mencuba pelbagai cara untuk berhubung dengan pihak sana (Fazura) tetapi tidak mendapat kerjasama baik sedangkan tujuan utama kami hanyalah mendapatkan baki bayaran yang tertunggak.
"Akibat daripada kes hutang ini, kewangan syarikat (Obor dan Feline) terjejas teruk," katanya.
Menurut Sam, lebih mengecewakan cek berjumlah RM1 juta yang ditandatangani bersama Fazura bertarikh 3 September 2024 adalah cek tendang.
"Betul. Pihak saya menerima cek tendang berjumlah RM1 juta daripada pihak sana. Memang tak sangka benda ini berlaku,
"Kami ada maklumkan perkara ini supaya menggunakan alternatif lain untuk membuat pembayaran segera kerana ia adalah cek tendang tapi tidak dilayan," katanya.
Sam berkata, semua transaksi itu berlaku ketika Fazura masih menjadi pengarah sebelum beliau meletakkan jawatan di Pink Fate pada Januari lalu.
Bagaimanapun, abangnya Ahmad Faiz Sharifuddin masih kekal sebagai pengarah.
Terdahulu sebuah portal media melaporkan Obor Holding Sdn Bhd, pemilik Feline Malaysia, mendakwa Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum diasaskan bersama oleh Fazura dibekalkan dengan tudung bernilai RM7,330,197.04 sejak Jun 2022.
Namun, Pink Fate hanya membuat bayaran sebanyak RM2,680,167.90, menyebabkan baki tertunggak berjumlah RM4.65 juta yang masih belum dijelaskan kepada Feline.
Obor Holding turut mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk mengutip bayaran tersebut sejak Disember 2023.
Selain Pink Fate sebagai defendan pertama, dokumen saman itu turut menamakan Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua, abang Fazura iaitu Ahmad Faiz Sharifuddin sebagai defendan ketiga, dan Fazura sendiri sebagai defendan keempat.
Melalui penyataan tuntutan yang diperoleh, hutang RM4.65 juta itu termasuk lima pesanan tambahan yang dibuat pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta, meskipun hutang terdahulu masih belum dilunaskan pada ketika itu.
Selain itu, dokumen itu menyatakan Faiz memberi jaminan kepada Feline bahawa pesanan tambahan itu dibuat untuk Kementerian Pendidikan menerusi inisiatif Merdeka Collection.
Sementara itu, cubaan media menghubungi Fazura bagi mendapatkan penjelasannya tidak berjaya.
Sumber: Harian Metro, Utusan Malaysia