"I Love You BFF!" - Alvin Chong Lega Tak Payah Simpan Rahsia Emma Maembong Lagi

Fiza Kamarudin
Februari 21, 2020 00:57 MYT
Pelakon Alvin Chong meluahkan rasa lega selepas sahabat baiknya, Emma Maembong selamat melangsungkan pernikahan semalam (Khamis).

Alvin menerusi posting di laman sosial Instagram (IG) memberitahu, dia sudah lama menyimpan rahsia tersebut.

“Dah lama saya simpan rahsia ni…Semua orang cuba nak korek rahsia ni daripada saya tau,” katanya kepada Emma menerusi video yang dimuat naik.

Dalam pada itu, Alvin turut memberikan pesanan kepada sahabatnya itu supaya menjadi isteri yang baik.

“So dah jadi bini orang…isteri orang…tak boleh macam-macam dah,” ujarnya disambut tawa Emma sambil mengucapkan terima kasih kepada Alvin.

Selain posting tersebut, menerusi sebuah lagi entri Alvin turut mendedahkan dia hampir tidak dapat menghadirkan diri ke majlis akad nikah Emma dan Shazli kerana tidak sihat.

Namun kata Alvin, dia menggagahkan diri ke majlis tersebut kerana tidak mahu menyesal di kemudian hari dan terlepas momen istimewa Emma.

“Hampir tidak dapat menghadiri akad nikah Emma hari ini sebab saya sakit. Tapi kalau saya terlepas momen ni, saya akan menyesal seumur hidup (Almost couldn’t make it to Emma ‘s akad nikah today as I was really sick. But I knew if I missed it I’m gonna regret it for a lifetime),” katanya.

Alvin turut berkongsi tentang sikap Emma yang naif sering membuatkan dia risau, selain menyifatkan wanita tersebut sebagai seorang yang baik, berbakat besar dan peramah.

Katanya lagi, Emma memberitahu hasrat untuk berkahwin beberapa bulan lalu dan dia merupakan sahabat pertama yang tahu mengenainya.

“Emma seorang yang sangat baik, berbakat besar, peramah dan naif. Saya selalu risau dia dibuli.

“Emma pernah bagitahu yang dia nak kahwin dan ada keluarga sendiri masa kami mula-mula berjumpa dulu.

“Beberapa bulan lalu dia beritahu nak kahwin dan saya merupakan sahabat dia yang pertama tahu mengenai perkara itu.

“Saya masih tak percaya yang duyung kecil kami kenal ini dah kahwin…Saya gembira untuk Emma.

“Selamat pengantin baru dan semoga berbahagia kekal ke Jannah. Love you my best friend!,” ujarnya.

Terbaru, Alvin menampilkan Emma dalam muzik video single terbarunya berjudul Tak Terganti yang sudah mencecah 115 ribu tontonan sejak dilancarkan 10 hari lalu.

#Alvin Chong #Emma Maembong #Nikah #Emma Maembong