Hiburan
“I Spent The Next 5 Days In Living Hell” - Penyanyi Hollywood Ditahan Pihak Imigresen Malaysia Kerana Tiada Permit Persembahan
Penyanyi Hollywood Maggie Lindemann telah ditahan oleh pegawai Jabatan Imigresen gara-gara membuat persembahan tanpa permit yang sah.
Memetik laporan The Star, Lindemann telah ditahan kerana tidak mempunyai pas lawatan profesional ketika persembahannya berlangsung di The Bee, Publika pada 21 Jun yang lalu.
“Dia ditahan di pejabat Imigresen Jalan Duta untuk tujuan dokumentasi dan telah dilepaskan dengan jaminan keesokkan harinya,” kata Hamidi Adam selaku Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.
Menurut beliau lagi, kes ini telah diserahkan kepada pihak mahkamah.
“Penganjur persembahan telah mengaku bersalah di dalam mahkamah dan telah didenda sebanyak RM30,000,” ujarnya lagi.
Lindemann menerusi satu entri di akaun Instagramnya semalam menyatakan dia telah ditahan dan ditangkap ketika persembahan berlangsung dan ‘berada di dalam neraka selama lima hari’.
Dia kemudiannya memohon maaf kepada semua peminatnya di Malaysia yang hadir ke persembahannya.
Selepas Malaysia, Lindemann dijadualkan membuat persembahan di Vietnam dan Singapura namun terpaksa membatalkan tujuannya itu gara-gara ditahan di Malaysia.