Kecoh di media sosial apabila aplikasi MySejahtera secara tiba-tiba mengeluarkan beberapa status mengelirukan.

Status itu termasuklah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta Individu dalam pemantauan (PUS) kepada beberapa individu.

Justeru, ia telah menimbulkan masalah buat sesetengah pihak terutama bagi mereka yang mahu memasuki premis atau menghadiri acara-acara rasmi.

Malah, ada juga netizen yang terpaksa menanggung akibat apabila dilarang menaiki kapal terbang kerana menerima status tersebut.

“I tak boleh naik flight ya pagi tadi sebab tiba-tiba PUS? Buat sistem untuk satu negara boleh error macam ni?" tulis seorang daripada pengguna Twitter.

Susulan daripada itu, MySejahtera hari ini tampil memohon maaf atas kesilapan teknikal tersebut.

Menerusi laman Twitter, MySejahtera menjelaskan masalah berkenaan sudah diperbaiki dan kesemua status HSO telah dipadam serta status PUS pula ditarik semula.

“Selamat pagi semua, kami memohon maaf atas kesilapan kami yang membenarkan pengguna diberikan status HSO/PUS.

“Kami telah membetulkan punca masalah ini berlaku. Semua HSO yang salah telah dipadamkan dan status PUS yang salah ditarik balik,” katanya.