"Ia Bukan Saja Tentang Keganasan Wanita Tapi Juga Penindasan Kaum Lelaki" - Pengarah Nusyuz Berkiblat Cinta

Amri Hassan
Mac 30, 2022 11:45 MYT

Pengarah drama rantaian Nusyuz Berkiblat Cinta, Hadith Omar berdepan pelbagai cabaran untuk menyiapkan naskhah sepanjang 40 hari penggambaran.

Jelas Hadith, drama lakonan Emma Maembong dan Fikry Ibrahim itu perlu diteliti lebih terperinci kerana membabitkan fakta dan hukum agama.
"Terdapat banyak halangan untuk menghasilkan naskah ini. Antaranya adalah skrip yang masih dalam pembikinan ketika melakukan penggambaran kerana isu yang diketengahkan bukanlah isu biasa. Ia melibatkan fakta dan hukum.
"Selain itu, drama ini juga mencabar kreativiti saya untuk memberikan paparan visual yang bersesuaian untuk tayangan pada bulan ramadhan.
"Subjek yang dipaparkan juga bukanlah subjek kebiasaan atau boleh diambil lewa jadi saya juga perlu melakukan kajian dan banyak membaca mengenai alam perkahwinan.
"Drama ini diterbitkan untuk memberi kesedaran kepada penonton mengenai isu keganasan rumah tangga yang berlaku. Bukan sahaja keganasan terhadap wanita, tetapi juga penindasan terhadap kaum lelaki yang jarang diketengahkan.
"Drama ini juga mendidik penonton penderaan yang berlaku bukan sahaja melalui fizikal tetapi juga penderaan mental dan juga kata-kata lisan," katanya.
Drama Nusyuz Berkiblat Cinta memilih lagu Mainan nyanyian Naim Daniel sebagai lagu temanya. Kata Hadith, ia bersesuaian dengan lirik dan babak-babak yang dipaparkan dalam naskhah terbabit.
"Watak utama Hawa lakonan Emma Maembong menjadikan perkahwinannya dengan Adam (Fikry Ibrahim) seperti satu permainan kehidupan.
"Ia juga menyokong kisah Erfhan dan Safiana lakonan Nadhir Nasar dan Shaza Bae dimana Erfhan melayan Safiana seperti permainan dalam rumah tangga mereka," tambah Hadith.
Sinopsis
Nusyuz Berkiblat Cinta mengisahkan dua pasangan suami isteri, Adam dan Hawa, dan Erfhan dan Safiana.
Apabila Hawa mendapat tahu yang Safiana menjadi mangsa keganasan rumah tangga, dia membuat keputusan untuk mengawal rumah tangganya sendiri dan bertegas untuk tidak tunduk sedikitpun pada suaminya.
Hawa menetapkan syarat dalam perkahwinannya bersama Adam dan Adam hingga Adam sanggup mengenepikan keluarga dan kawan-kawannya demi Hawa. Tanpa disedari, Adam dikawal sepenuhnya oleh Hawa.
Malang sekali, keadaan tidak berubah untuk Safiana apabila dia seringkali didera dari segi emosi, fizikal dan seksual oleh Erfhan.
Patutkah Adam dan Safiana terus kekal dalam perkahwinan masing-masing? Adakah Hawa dan Erfhan akan berubah menjadi pasangan yang lebih baik?
Nusyuz Berkiblat Cinta dibintangi Emma Maembong, Fikry Ibrahim, Shaza Bae, Nadhir Nasar dan ramai lagi.
Drama terbabit mula ditayangkan pada 3 April 2022 setiap hari Ahad pukul 9 malam di saluran Astro Ria.

#Emma Maembong #Drama #Pengarah #Fikry Ibrahim #Nusyuz Berkiblat Cinta #Hadith Omar