Hiburan
“Ia Membahayakan Tapi Saya Buat Kerana…”- Melompat Atas 4 Bas, Maya Karin Ambil Risiko
Demi kepuasan lakonan, pelakon Maya Karin mendedahkan dia telah mengambil risiko melakukan sendiri aksi lagak ngeri melompat di atas empat buah bas ketika menjayakan filem Bulan & Pria Terhebat.
Menurut Maya, aksi itu dilakukan dengan rela meskipun pengarahnya, Ghaz Abu Bakar menasihatinya supaya ia dilakukan sendiri oleh pelakon lagak ngeri.
“Saya membawakan watak Tony, seorang pembunuh upahan yang ditugaskan untuk menghapuskan Bulan (Zahirah Macwilson).
“Jadi di dalam filem ini banyak aksi yang saya lakukan, termasuklah aksi melompat dari atap bas ke atap bas lain. Saya buat sendiri semuanya empat buah bas.
“Saya tahu ia membahayakan tapi saya buat kerana kepuasan. Kami hanya mengambil dua ‘take’ untuk babak itu sahaja.
“Ghaz tidak berkata apabila saya minta aksi itu saya lakukan sendiri tanpa ‘stunt man’. Saya rasa dia tahu kemampuan saya dan dia percayakan saya,” katanya kepada Gempak.
Penggambaran yang dijalankan tiga tahun lalu itu turut menampilkan pelakon lain seperti Zahirah Macwilson, Zizan Razak, Khir Rahman, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.
Mengulas mengenai persiapannya sebelum memulakan penggambaran filem aksi komedi itu, Maya memberitahu dia menjalani latihan fizikal selama seminggu.
“Latihan fizikal sangat penting, demi memastikan kareografi yang dihasilkan nanti dilihat ‘real’.
“Jadi mereka memang memastikan kami sebagai pelakon menjalani latihan secukupnya.
“Kami mendapat latihan pakar dari aksi filem yang berasal dari Indonesia,” katanya lagi.
Bulan & Pria Terhebat yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu ditayangkan pada 12 Mac depan.
Secara ringkas fielm arahan Ghaz Abu Bakar itu mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.
Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.