Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Ibu Bapa Bawa Anak Ke Tempat Awam Mungkin Akan Dikenakan Tindakan!

Fiza Kamarudin
18/05/2020 18:12 MYT

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang di dalam peringkat perbincangan untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa dan penjaga yang membawa kanak-kanak ke tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media harian COVID-19 pada Selasa berkata, tidakan lebih keras akan diambil sekiranya membawa anak ke tempat awam atau hospital tanpa temujanji atau sebab yang kukuh.

Buat masa sekarang, Dr Noor Hisham berkata, KKM dan MKN masih menjalankan kaedah menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam.

“KKM akan berbincang dengan MKN untuk melihat cara penguatkuasaan undang-undang terhadap ibu bapa yang membawa anak mereka ke tempat awam.

"Kita telah menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak mereka ke tempat awam seperti di pasar raya atau hospital tanpa temujanji.

"Tetapi sekarang kita akan bincang bagaimana kita nak kuatkuasakan undang-undang terhadap ibu bapa yang masih ingkar.

"Kalau kaedah lembut sekarang tidak berjaya, kita akan gunakan kaedah penguatkuasaan," katanya.Selain itu penguatkuasaan terhadap pergerakan rentas sempadan negeri berikutan masih ramai individu yang cuba pulang ke kampung.

“Jika orang awam tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kes akan meningkat terutama selepas musim perayaan dan ini membimbangkan KKM.

"Buat masa ini jika nak balik ke kampung, kita hanya nasihat dan suruh patah balik, tapi kalau nasihat KKM tidak diendahkan kita akan gunakan kaedah penguatkuasaan," katanya.

 

#COVID-19 #Dr Noor Hisham #PKPB