Pengakuan seorang pemuda tentang dia adalah anak kepada perogol yang memperkosa ibunya pada Instagram (IG) Live di antara Caprice dan Fynn Jamal malam tadi telah mengejutkan wargamaya.

Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna telah berkongsi pengakuan pemuda tersebut untuk tatapan umum.

“Ibu saya adalah dirogol waktu rumah dipecah masuk, saya anak hasil tragedi tu. Jangan kata semua perempuan sengaja, diorang adalah mangsa. Saya mewakili ibu saya, perogol yang bersalah,” tulis pengakuan terbabit.

BACA: “Apa Kaitan Selfie & Filter Dengan Rogol” - Cuba Beri Penjelasan, Tapi Fynn Jamal Masih Buat Caprice Keliru? Akhirnya...

Gempak berpeluang menemubual pemuda tersebut yang dikenali sebagai Fahmi Abdullah.Menurut Fahmi, kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi Fynn Jamal yang menyalahkan wanita, aurat dan filter sebagai punca kes rogol adalah salah.

“Bukan senang mak saya hadap benda ni, bukan mudah mak saya nak lupakan kejadian itu dan bukan senang saya hidup dengan keadaan begini.

“Saya dan mak mengalami masalah kesihatan mental, tapi mak saya adalah orang yang paling sengsara. Bukan mudah untuk lahirkan anak luar nikah sedangkan mak saya sudah berkahwin waktu itu.

“Berhenti salahkan wanita dalam segala hal. Wanita adalah perhiasan dunia, hargai wanita. Berhenti salahkan pakaian wanita, mula didik anak lelaki jaga tingkah laku, jaga syahwat, fikir apa perasaan kalau orang buat macam tu pada keluarga terdekat,” kata Fahmi ketika dihubungi Gempak.

Tambah Fahmi, dia merasakan inilah masa yang sesuai untuknya keluar daripada perasaan malu.

“Saya ada ibu yang penyayang, yang tak pernah buang saya walaupun saya bukan anak yang dia tunggu-tunggu,” ujarnya lagi.

Bagi Fahmi, dia mahu beri kesedaran kepada orang ramai bahawa perbuatan rogol adalah jenayah dan ia adalah salah perogol.

“Macam kita tahu sekarang ramai mangsa-mangsa rogol yang berniqab, berjubah labuh, yang menjaga aurat. Dia dah menjaga auratnya tapi masih dirogol? Kenapa? Disebabkan lelaki yang bernafsu. Wanita jaga aurat macam mana pun, kalau lelaki itu tak kawal nafsunya, haiwan juga dia boleh rogol.

“Saya mewakili ibu saya, ingin berikan kesedaran tentang rogol adalah salah perogol, bukan salah mangsa yang seksi atau berjubah labuh. Itu fakta,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Fynn Jamal secara tiba-tiba trending di Twitter apabila membangkitkan isu jenayah rogol.

Beberapa pendapatnya telah mencetuskan kemarahan wargamaya apabila ada yang mendakwa ia agak mengelirukan.

BACA: “Pakai Tudung Tapi Bergambar Macam Kucing Mengawan” - Fynn Jamal Cetus Kemarahan Netizen Gara-Gara Isu Rogol!