Ibu Gajah Mungkin Kembali Ke Lokasi Anaknya Mati - Perhilitan
Ibu gajah yang kehilangan anaknya akibat dilanggar sebuah lori muatan ayam dalam kejadian kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi Ahad, mungkin akan kembali ke lokasi kejadian.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, dalam operasi itu, seramai 10 anggota dari Perhilitan Perak dan Kelantan ditugaskan membantu ‘menenangkan’ ibu gajah berkenaan.
“Pelali yang kita gunakan mengikut dos sesuai berdasarkan berat gajah tersebut bagi membolehkan ia dibawa ke hutan berhampiran. Lokasi pemindahan hanya sekitar satu kilometer dari tempat kejadian.
Yusoff berkata, gajah denak atau lori khas tidak digunakan dalam proses tersebut kerana tindakan perlu dilakukan segera bagi mengelak kesesakan trafik di lokasi berkenaan.
Terdahulu, video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial mengundang reaksi simpati dalam kalangan warganet apabila melihat tindakan ibu gajah yang enggan berganjak dari lokasi kerana mahu ‘menyelamatkan’ anaknya.
Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori berkenaan.
Sumber: Sinar Harian