Berita

Ibu Hilang Dua Anak Depan Mata Dalam Perjalanan Ziarah Kubur Suami

gempak
Gempak
24/09/2024
09:25 MYT
Sponsor Banner
Ibu Hilang Dua Anak Depan Mata Dalam Perjalanan Ziarah Kubur Suami
Luluh hati seorang ibu yang menyaksikan dua anaknya maut di depan mata dalam kemalangan di Jalan Lebuh SPA berhampiran Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, pada Isnin.
Lebih memilukan, kejadian mengorbankan anak sulung, Muhammad Amirul Hazlin, 18 dan anak bongsu, Nur Afiqa Sofea Hazlin, 5, itu berlaku 10 bulan selepas Norizan Ujak, 40, kehilangan suaminya.
Norizan berkata, dia yang mengekori dua anaknya itu, hanya mampu menjerit apabila melihat motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah tong sampah pukal roro di bahu jalan sebelum terpelanting.
Katanya, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Tanah Perkuburan Islam Bertam untuk menziarahi pusara arwah suaminya.
"Ketika itu saya menaiki sebuah motosikal lain bersama seorang lagi anak perempuan berusia 16 tahun. "Saya berada di belakang mereka.
"Apabila saya nampak dua anak saya kemalangan saya terus berhenti dan menerpa ke arah anak bongsu berusia lima tahun dan mendapati dia sudah terkulai dengan tangan dan kaki patah," katanya yang tidak dapat menahan tangisan ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka tengah malam tadi.
Mengulas lanjut, dia mendakwa tong roro itu berada atas bahu jalan di lorong kecemasan menyebabkan anak sulungnya yang menunggung motosikal terbabit tidak sempat mengelak kerana ada lori di lorong kanan.
Dia turut mendakwa, kesal kerana tong roro untuk membuang sisa pokok ditebang itu tidak dilengkapi aspek keselamatan dan meminta pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, dalam kejadian 6.15 petang semalam, dua beradik itu maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh kontena sampah pukal roro.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata, Muhammad Amirul meninggal dunia pada pukul 9.40 malam manakala adiknya disahkan menghembuskan nafas terakhir pada 12.30 tengah malam tadi ketika dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
“Polis turut mengesan pemilik roro terbabit serta saksi bebas yang melihat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Astro AWANI
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live