Laman Utama
Ibu Mentua Hari-Hari Tanya Tentang Cucu, Tapi Yonnyboii Akui Belum Sedia Timang Anak- “Kalau Ada Alhamdulillah…”
Penyanyi popular, Yonnyboii mengakui yang ibu mentuanya ada meminta supaya dia segera menambah ahli keluarga dengan menerima kelahiran cahaya mata.
Begitupun, menurut penyanyi lagu Sakit itu, dia dan isterinya, Nik Nazira masih lagi belum sedia untuk menyandang predikat sebagai bu dan bapa dalam masa terdekat.
“Perancangan untuk anak itu ada. Tambahan pula, ibu mentua pun tak sabar, hari-hari tanya tentang cahaya mata. Tapi sebenarnya, saya belum bersedia.
“Tiada siapa bersedia… sebab kalau ikutkan, kami nak lanjutkan lagi (hidup tanpa anak),” katanya kepada Gempak.
Yonnyboii ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia di SACC Mall, Shah Alam, Selangor semalam.
Pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu berkata, keluarganya melihat anak sebagai sumber kebahagiaan yang mampu mengeratkan hubungan mereka sebagai suami isteri.
“Tapi, orang tua semua nak… kata mereka, kehadiran anak dapat mengeratkan lagi rumah tangga. Kita pun tak boleh nak lawan orang tua dan kita sendiri ada jalan hidup kita sendiri. Jadi, kita cuba aturkanlah.
“Kalau dapat anak, alhamdulillah. Kalau tak dapat, tidak mengapa,” katanya lagi.
Untuk rekod, Yonnyboii dan Nazira berkahwin di Duchess Place, Ampang pada 20 November tahun lalu, sehari selepas penyanyi Haqiem Rusli naik pelamin.