Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ibu Michelle Yeoh Menangis, Terima Ucap Tahniah Macam YB Atas Kejayaan Rangkul Oscar

Maliah Surip
13/03/2023 06:00 MYT
Seluruh rakyat Malaysia sedang berbangga dengan kejayaan yang dirangkul Tan Sri Michelle Yeoh menerusi kemenangan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) hari ini.

Pesohor kelahiran Ipoh, Perak tersebut merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once. Michelle memainkan karakter Evelyn Quan Wang dalam filem arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert tersebut.

Selain penggiat seni yang berada di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat dilihat meraikan kejayaan tersebut, kemenangan Michelle turut dirayakan ibunya, Datin Janet Yeoh dan seluruh tetamu yang menonton anugerah berprestij tersebut secara langsung di Majlis The Pride of Malaysia Exclusive Viewing Party Oscar 2023.

Menerusi potongan video yang tersebar di media sosial, Janet dilihat menyeka air mata kegembiraan sebaik nama anak perempuan kesayangannya diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Oscar.

Dalam video yang sama, Janet kemudian dilihat berpelukan, bersorak dan diraikan penuh kebanggaan oleh para tetamu lain yang berada di dalam majlis sama.

Malah tidak keterlaluan jika disifatkan Janet telah diraikan seperti seorang menteri atau Yang Berhormat memenangi kerusi dalam pertandingan.

Terdahulu menerusi ucapan kemenangannya, Michelle juga mendedikasikan kejayaan yang diperoleh kepada ibunya dan para wanita lain yang disifatkan sebagai superhero.

“Saya akan membawa pulang trofi ini kepada ibu saya yang sedang menonton (acara Anugerah Akademi) di Kuala Lumpur, Malaysia bersama seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan,” kata Michelle dalam ucapannya.

Untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, Michelle menumpaskan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)

#Michelle Yeoh #Malaysia #Oscar #Oscar 2023
;