Pelakon Ozlyn Wati berkongsi berita duka mengenai pemergian ibu tercinta, Rozidah Jumari, menerusi laman sosial Instagram (IG)nya pada Selasa.

Menerusi hantaran tersebut Ozlyn turut berkongsi foto kenangan dia dan ibu bersama keluarga yang dirakam pada awal Ramadan lalu.

“Kepada yang mengenali ibunda kami, Rozidah binti Jumari…Beliau telah pun kembali ke Rahmatullah dan semoga meninggalnya khusnul khatimah

“Jika ada sesiapa yang pernah terasa hati dengan beliau harap ampunkan dosa-dosa ibunda kami, jika ada yang berhutang dengan ibunda, kami percaya telah dihalalkan kerana itu adalah sifat beliau, tetapi jika ibunda kami ada terhutang pada kalian sila hubungi kami..

“Dan yang pasti gambar bahagia itu diambil pada awal Ramadhan tahun ni sebelum PKP dan pasti bukan gambar terakhir ibunda berjemaah dengan kami,” katanya.

Bagaimanapun Ozlyn yang juga isteri kepada pelawak, pelakon dan penyampai radio Johan itu berkata, mereka sekeluarga redha dengan pemergian ibu.

“Ya Allah, kami redha atas pemergian ibunda tercinta dan tempatkanlah beliau di sisi hambamu yang beriman..

“Terima kasih pada semua yang tak henti-henti call text doakan ada yang tak kenal pun.. Yang DM tak henti-henti doakan untuk ibunda kami, SubhanAllah Alhamdulillah AllahuAkbar. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian,” katanya.

Sementara itu di ruangan komen, ramai rakan selebriti mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah dan mengucapkan takziah kepada Ozlyn dan Johan.

Rata-rata yang mengenali Rozidah turut berkongsi tentang kebaikan dan sikap pemurah serta suka bersedekah Allahyarhamah yang lebih mesra dipanggil Mak itu.

Mereka turut berharap Ozlyn dan Johan tabah menghadapi dugaan pada waktu sukar ini.

A post shared by Johan & Ozlynn (@jozlynnhanania)