Ibu kepada penyanyi Sandra Dianne yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini merayu kepada orang ramai yang berada di tempat kejadian agar memulangkan telefon bimbit anaknya.

“Assalamualaikum, saya Ibu kepada Sandra Dianne, merayu kepada mereka-mereka yang berada di tempat kejadian kemalangan Sablu lepas, untuk memulangkan semua telefon bimbit anak saya sekiranya ada yg terambil ketika keadaan kelam kabut.

“Sandra Dianne menggunakan telefon bimbit jenis Samsung S20 Ultra. Ini adalah hp yang selalu dia gunakan untuk urusan kerja, segala maklumat sosial media, IG, Tweeter beliau tersimpan di situ selain maklumat-maklumat sulit yang lain.

“Saya mohon kerjasama kepada individu yang ada menyimpan telefon bimbit anak saya untuk memulangkannya semula kepada saya.

“Bantu saya sebarkan agar rayuan ini sampai kepada mereka yang berkenaan. Sekian, terima kasih,” tulisnya pada posting terkini yang dimuatnaik petang Rabu.

Selain itu, Nor Syakinah turut mengemaskini keadaan semasa Sandra yang masih dalam pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Menerusi posting yang dimuat naik dua hari lalu itu Nor Syakinah memberitahu Sandra masih belum sedarkan diri dan memerlukan doa daripada semua.

“Saya menyusun 10 jari memohon kemaafan buat rakan-rakan dan sahabat handai serta saudara mara yang mengambil berat dan bertanya khabar, terlalu banyak PM, DM dan whatsapp yang masuk bertalu-talu.

“Tapi ingin saya beritahu saya sangat menghargai perhatian dan kasih sayang dari korang semua, yang saya perlukan saat in hanya doa yang berterusan, doa yang tulus ikhlas daripada peminat dan penyokongnya juga orang-orang yang menyayangi dirinya,” tulis Nor Syakinah.

Dalam pada itu ibu kepada peserta Big Stage 2020 itu turut memohon jasa baik orang ramai supaya berhenti menyebarkan foto kemalangan yang melibatkan anaknya itu.

Sandra Diane terlibat dalam kemalangan pada Sabtu lalu di Lebuhraya Elite menuju ke Putrajaya ketika dalam perjalanan untuk menjalani latihan Big Stage.