Ibu kepada Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid iaitu Datuk Paduka Saadiah Adam, 96, meninggal dunia pada jam 4.30 pagi tadi.

Berita itu disahkan sendiri oleh suaminya, Datuk Hashridz Murshim Hassim atau Acis menerusi akaun Instagram miliknya.

“Bismilahiramanirahim. Innalilahirojiun…

“Assalamualaikum… Dengan rasa sebak saya ingin memaklumkan ibu kesayangan kami, nenek, moyang Datuk Paduka Hajah Saadiah binti Haji Adam telah meninggal dunia hari ini pada jam 4.30 pagi tadi di 11 Zulhijjah 1441 masihi, 1 Ogos 2020.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkannya bersama orang-orang beriman. Amin. Al-Fatihah,” katanya.

Difahamkan, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sakinah Kiara 2, Bukit Kiara, jam 11 pagi tadi.

Terdahulu, Sheila ada memuat naik foto dan meminta peminat mendoakan kesihatan ibunya yang terlantar sakit.

Gempak mengucapkan salam takziah kepada Sheila dan seluruh ahli keluarga, semoga roh arwah dicucuri rahmat Allah.