Laman Utama
Ibu Tiri Arwah Siti Sarah Santuni Anak-Anak Yatim, Lancar Tudung 7 Saat - "Arwah Pernah Berkata, Permulaan Yang Baik Akan Ada ..."
Ibu tiri kepada Allahyarham Siti Sarah, Siti Fatimah Suberi meneruskan legasi usaha murni yang pernah dicetuskan penyanyi tersebut.
Terbaharu, Siti Fatimah melancarkan tudung tujuh saat yang diberi nama Assyfa Manes khusus buat golongan wanita.
Assyfa Manes kata Siti Fatimah adalah rekaan tudung terbaharu susulan kejayaan dan permintaan tinggi tudung Assyfa yang menjadi signatur jenama Loveta.
"Sebelum ini koleksi Assyfa pernah tampil dengan koleksi rekaan iaitu Assyfa cinta yang telah mendapat permintaan tinggi oleh kaum wanita. Koleksi ini pernah pernah mencatat jualan sebanyak 50,000 helai dalam tempoh sebulan.
"Justeru kami tampilkan koleksi Assyfa Manes sebagai pengubat kepada peminat koleksi Assyfa yang sentiasa menantikan pembaharuan dan rekaan baharu. Lebih menarik, Assyfa Manes akan menjimatkan masa setiap wanita yang memakai dengan hanya 7 saat.
"Saya faham peranan dan tanggungjawab wanita dimasa sekarang tidak mudah, banyak kerja yang perlu dilakukan sekaligus memberikan inspirasi kepada saya untuk tampil dengan rekaan yang mudah dipakai dan sesuai untuk semua generasi," katanya kepada Gempak.
Siti Fatimah berkata dia menyasarkan Assyfa Manes sebanyak 70,000 helai dijual dalam tempoh sebulan.
"Kami sangat komited dan percaya dengan kualiti produk kami. Alhamdulillah sepanjang 3 tahun beroperasi kami menerima permintaan tinggi daripada kaum wanita yang jatuh cinta dengan rekaan yang diperkenalkan," tambahnya.
Siti Fatimah yang ditemui pada majlis pelancaran Assyfa Manes di Rumah Anak Yatim Al Kausar, Bangi, baru-baru ini turut meluangkan masa seharian bersama penghuni rumah tersebut.
Kata Siti Fatimah, dia ingin menyambung usaha murni yang pernah dilakukan Allahyarham Siti Sarah ketika hayatnya.
"Arwah pernah berkata kepada saya permulaan yang baik pasti ada kemanisan yang Allah akan berikan. Jadi saya pun ambil peluang ini dan meraikan bersama anak-anak yatim. Dalam majlis ini juga saya adakan bacaan yaasin untuk arwah.
"Dalam masa yang sama, saya lihat program tata rias ini dapat menggembirakan penghuni perempuan di sini dengan aktiviti yang baharu.
"Rata-rata mereka nampak seronok, maklumlah pertama kali rasai pengalaman begini. Saya pun tumpang gembira lihat mereka bercantik-cantik dan ayu menggenakan jubah dan tudung Loveta yang kami hadiahkan,”katanya.
Menerusi program itu seramai 15 kanak-kanak dan remaja perempuan berusia antara 10 hingga 17 tahun diberi sentuhan jurusolek dengan menggayakan koleksi tudung terbaharu Loveta, Assyfa Manes.
Tudung Assyfa Manes sudah mula dijual secara online di laman web www.lovetahq.com, media sosial Facebook,Instagram,Tiktok dan shopee (@lovetahq),stokis dan ejen sejak selasa lalu susulan mendapat permintaan yang tinggi. Tudung Assyfa Manes dijual pada harga RM59.00.
Must-Watch Video