Malang tidak berbau!

Siapa sangka kucing peliharaan yang dibela sejak tahun 2016 berubah menjadi agresif sehingga menyebabkan kecederaan.

Ini yang menimpa nasib seorang kanak-kanak, Amsyar yang baru saja berumur setahun lapan bulan yang terpaksa menerima lima jahitan di bahagian kelopak mata selepas diterkam dan digigit oleh kucing kesayangan, Grey.

Menurut ibunya, Nor Hidayah Isa, Grey marah selepas dia bertindak untuk menutup pintu rumah bagi menghalangnya keluar kerana di luar berlaku pergaduhan kucing lain.

"Kami ada pelihara kucing nama Grey. Hari kejadian sekitar 11 pagi macam tu. Pintu rumah buka tapi pintu grill tutup jadi nampak la kat luar kucing bergaduh lari lalu depan rumah.

"Saya cepat-cepat la tutup pintu sebab takut Grey lari keluar juga sebab dia pernah panjat grill tu lari kejar kucing lain dan hilang. Sehari kami cari baru jumpa.

"Tak nak kejadian sama berulang jadi tutup pintu. Tak sangka tindakan saya tu membuatkan Grey marah. Amsyar masa tu duduk berdekatan dengan Grey dekat depan pintu juga.

"Lepas ja tutup pintu tu saya berlalu nak duduk di sofa. Lepastu la Grey nampak Amsyar terus dia terkam kepala Amsyar dan gigit cakar semua. Benda tu jadi sangat cepat berapa saat ja.

"Bayangkan macam kucing bergaduh tu. Betul-betul Grey buat mcm tu kat Amsyar dakap kepala Amsyar macam musuh dia," tulisnya di Facebook.



Ketika dihubungi Gempak, Hidayah meluahkan rasa sedih dan bersalah dengan nasib anak lelakinya itu.

"Pertama kali Grey bertindak agresif macam ni. Sebelum ni pernah halang dia dari bergaduh dengan kucing lain tapi dia okey ja. Kali ni sebaliknya yang terjadi.

"Saya rasa sedih sangat rasa bersalah. Pertama kali juga dalam hidup tengok kucing serang manusia sampai teruk macam ni," katanya.

Tambah Hidayah, dia sekarang berada dalam keadaan trauma justeru memilih untuk menjauhkan Grey daripada Amsyar.

"Saya trauma sebab jadi depan mata, tak pernah lagi tengok luka yang banyak macam tu. Kepala dan dahi berlubang, kelopak mata terbelah nampak isi, bibir terbelah atas.

"Kesan cakar belakang kepala dan dada. Darah menitik-nitik masa tu, habis basah baju. Bukan Amsyar ja dengan saya sekali penuh darah.

"Buat masa sekarang memang saya jauhkan Amsyar dari Grey. Kami kurung Grey lepas ni kami akan mandulkan dia. Kami akan hantar Grey ke rumah mertua dulu. Saya harap Grey akan ubah perangai dia.

"Saya nak luka Amsyar betul-betul sembuh dulu baru la fikir yang lain. Luka dia dah kering tinggal dekat bahagian kelopak mata ja nak kena jaga.

"Dua hari sekali saya kena bawa dia klinik untuk dicuci luka dan follow up dengan doktor," katanya lagi.

Dalam pada itu, Hidayah berharap tragedi yang menimpa keluarganya itu boleh dijadikan pengajaran untuk semua orang di luar sana.

"Khususnya untuk yang bela kucing tu tolong ambik pengajaran kisah ni. Lagi-lagi yang ada anak kecil. Potong kuku kucing tu, bawa pergi vaksin dan mandulkan kucing kita," kata Hidayah.

Perkongsian yang dibuat pada 3 Jun lalu mendapat hampir 5,000 perkongsian (shares) dan 3,700 komen.