Ibu penyampai radio Suria FM, Tyzo, Hasnah Shaari, 80, meninggal dunia di rumah keluarganya yang terletak di Ipoh, Perak.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7 malam semalam (Isnin).

Tyzo turut berkongsi berita duka tersebut di laman sosial Instagram (IG)nya dan memberitahu dia tenang menerima ketentuaan Allah SWT.

“Malam ini malam terakhir tidur dengan Mak. Saya tenang mak pergi, cuma terkilan kenapa mak tak ajak saya ikut sekali.

“Alfatihah Hajah Hasnah Shaari (Cikgu Hasnah). Moga mak bertemu arwah abah esok di Tanah Perkuburan Bukit Chupak, Parit, Perak,” tulis Tyzo pada ruangan kapsyen sebuah hantaran video terkininya yang dimuat naik kira-kira jam 1 tengahari tadi.

Difahamkan jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Taman Pengkalan Jaya (Taman SPPK) Pasir Puteh, Ipoh, Perak, esok jam 8 pagi.

Pada Oktober lalu, Tyzo memaklumkan sudah lama tidak dapat pulang ke kampung apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurut Tyzo, biarpun sibuk dengan kerja, dia mengambil peluang untuk pulang ke kampung walaupun hanya sempat bertemu ibunya hanya untuk beberapa jam.

Selain itu, Tyzo juga sering berkongsi video bersama ibunya menerusi aplikasi Instagram dan Tik Tok.

Sementara itu, Sharifah Shahira turut mengucapkan takziah kepada teman penyampainya itu dan menyifatkan Tyzo sebagai seorang anak yang baik.

Shahira menerusi hantaran di Instagram berkata, Tyzo sentiasa menyembunyikan kesedihannya.

“Kamu ni tak cakap, kalau bab-bab.. Ada apa kat rumah ke. Ulang-alik balik Ipoh tengok mak, lepas tu kerja. Tak ambil pun off day.

“Malam ni kamu nak balik Ipoh tengok mak kamu lagi. Dapat tahu baru sekejap tadi, mak dia meninggal dunia pada jam 6 lebih. Kelmarin dia ulang-alik balik KL ke Ipoh.

“Takziah Tyzo. Mak kamu bangga dengan kamu Tyzo, anak yang baik dan taat. Begitu juga dengan adik-beradik yang lain ya. Takziah buat keluarga,” katanya.