Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Idam Majlis Penuh Magis & Fantasi, Intan Ladyana Akur Situasi Pandemik

Asraf Aided
06/02/2021 11:50 MYT
Seperti diketahui umum, pasangan selebriti Harris Alif dan Intan Ladyana selamat diijabkabul semalam.

Menurut Intan, dia akur dengan keadaan semasa di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

Justeru, dia tidak kecewa kerana tidak dapat mengadakan majlis perkahwinan impiannya buat masa ini.

"Memang setiap wanita mempunyai perkahwinan impian atau 'dream wedding' masing-masing, namun memandangkan kita sedang dilanda pandemik COVID-19 dan menjalani PKP, saya terima keadaan sebenar dan suaikan diri dengannya.

"Majlis perkahwinan idaman saya bergantung kepada tempat, kalau ikutkan saya suka perkahwinan di tepi pantai, tapi di Kuala Lumpur mana mahu cari pantai. Saya suka konsep ala magik dan fantasi.

"Namun buat masa sekarang, tak boleh angan-angan dan terima sahaja kenyataan," katanya.

Intan berkata demikian dalam sidang media virtual yang diadakan oleh Sony Music Malaysia selepas majlis akad nikah semalam.

Dalam pada itu, Harris pula redha dengan ketentuan Allah SWT dan percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

"Kami redha, ada hikmah di sebalik setiap perkara yang berlaku, yang saya harapkan semoga perjalanan rumah tangga kami berdua baik-baik sahaja," katanya.

Pasangan ini diijabkabul dengan sekali lafaz pada sekitar 10.00 pagi di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam sebuah majlis yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Harris dan Intan juga menunda majlis resepsi mereka ke satu tarikh yang lebih sesuai kelak.



#Kahwin #Intan Ladyana #Harris Alif
;