Selepas lima tahun menyepi tanpa sebarang lagu baru, penyanyi Nomad akhirnya muncul dengan single berjudul Tanda Setia.

Menyifatkan lagu tersebut sebagai titik tolak kembalinya dia ke dunia hiburan, Nomad mendedahkan single itu telah disimpan lebih tiga tahun.

“Lagu ini secara dasarnya telah dicipta lima tahun lalu dan diinspirasikan daripada sebuah drama Cina.

“Disebabkan kisah drama itu sangat menaik dan mengusik jiwa, ia terus melekat dalam kepala sehingga terhasilnya baik-baik melodi dan lirik,” katanya.

Menurutnya, meskipun idea itu terhasil lima tahun lalu, dia hanya sempat merakaman lagu tersebut tiga tahun lalu.

“Lagu ini saya dah rekod sejak tiga tahun lepas. Kemudian saya mix dan mastering semula pada bulan lepas dan terus dihantar ke studio di Nashville, Amerika Syarikat untuk proses rakaman akhir.

“Lama simpan sebab saya mencari masa sesuai. Semua tahu saya ‘menyepi’ seketika, jadi hasrat itu tertangguh,” katanya.

Tambah Nomad, ‘buah tangannya’ ini diharap mengubati kerinduan peminat yang selama ini menanti-nantikan karya terbarunya selepas kali terakhir muncul menerusi lagu Tetap Menantimu.

“Sepanjang lima tahun saya menyepi, macam-macam yang saya dah buat. Rasa rindu untuk menyanyi semula tu sangat-sangat kuat. Rasa rindu tu yang jadi penguat semangat untuk saya bertapak semula dalam industri.

“Kebetulan pula dengan adanya program Gegar Vaganza, saya bermula dengan kosong semula di situ. Saya bina semula keyakinan dan seni persembahan,” katanya.

Nomad yang juga merupakan peserta program Gegar Vaganza musim ke-7 ditemui sewaktu sidang media pelancaran lagu Tetap Setia di Indigital Music, Damansara Perdana, semalam.

Tanda Setia sudah pun berada di semua platform digital pada 12 Disember lalu manakala muzik video dilancarkan bermula semalam.