Artis versatil, Ifa Raziah akui gementar mengenakan barang kemas bernilai RM3.5 juta ketika menjalani penggambaran muzik videonya baru-baru ini sehingga terpaksa mengupah tiga orang bodyguard untuk memastikan keselamatannya.

Ifa berkata, dia sendiri tidak menyangka diberi kepercayaan oleh Ceres Jewels untuk menyarungkan set aksesori dari batu permata asli bernilai jutaan ringgit itu.

“Jujur saya takut ketika menyarungkan semua tu atas badan. Disebabkan itu, pihak saya telah menyediakan tiga orang bodyguard lengkap dengan pistol untuk keselamatan.

“Bodyguard tersebut ditugaskan untuk mengiringi barang kemas Ceres Jewels sepanjang penggambaran muzik video berlangsung,” katanya kepada Gempak.

Bercakap mengenai muzik video Miss Diva, Ifa berkata dia dijelmakan sebagai ratu jahat persis Queen Ravenna lakonan Charlize Theron dalam filem The Huntsman : Winter's War.

“Miss Diva ni watak dia sama macam Queen Raveena, dia tak mahu wanita lain menandingi kejelitaannya sebab dia rasa dia yang paling meletup dan terpaling hebat.

“Tapi dalam pada duk gementar sebab risaukan barang kemas juta-juta tadi, lepas pakai je tiara terus watak ratu jahat ‘merasuk’ diri.

“Manakan tidak, harga tiara tu je pun dah RM3 juta…Batu berlian ori tau!,” katanya ketawa.

Ifa menjalani penggambaran muzik video Miss Diva arahan Syahid Rushdan di studio Lensa Film , Bukit Damansara.

Lagu Miss Diva dicipta Hafiz Hamidun dan komposer Indonesia, Ressa Herlambang.

Dalam perkembangan lain, Ifa kini sibuk dengan persiapan acara Starvendors Mega Raya Fest 2020 yang bakal berlangsung 72 jam tanpa henti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sepanjang ramadan ini.

Selain itu, jadualnya juga padat dengan aktiviti mempromosikan produk Solidmolid dan Solidberry di pasaran.

Ifa juga baru selesai penggambaran Ha Ha Ha terbitan Awesome TV selain bakal terlibat dengan telemovie Janda Kosmopolitan serta menerima tawaran daripada slot akasia TV 3 iaitu drama bersiri 26 episod, Pengantin Satu Malam.