Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

“IG Saya Tak Digodam Pun” – Buat Gimik Untuk Promosi Konsert, Akim Ahmad Minta Maaf Sebab ‘Prank’ Netizen

Umirah Halim 15/05/2025 | 20:55 MYT
Penyanyi, Akim Ahmad, akhirnya tampil menjelaskan bahawa kejadian kononnya akaun Instagram miliknya digodam baru-baru ini hanyalah gimik promosi sempena konsert Akim & The Majistret (ATM) Rampas Kuala Lumpur! yang bakal berlangsung pada 28 Jun 2025.

Menurut Akim, idea untuk mencetuskan gimik tersebut datang daripada pihak penganjur konsert, iaitu Show Tag, dan dia bersama anggota band menerima cadangan itu sebagai salah satu cara menarik perhatian umum terhadap konsert mereka.

“IG saya tidak digodam pun, itu hanya gimik untuk Konsert Akim & The Majistret sahaja. Idea itu datang daripada penganjur sendiri iaitu Show Tag. Saya dan band terima idea itu untuk dijadikan bahan promosi,” katanya ketika ditemui Gempak.

Akim berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Akim & The Majistret yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.

Bagaimanapun, Akim mengakui pada awalnya agak risau sekiranya gimik tersebut tidak menjadi, memandangkan ini adalah kali pertama dirinya mencuba strategi promosi sebegitu.

“Awal-awal saya macam risau juga takut gimik tak menjadi, sebab saya tak pernah buat gimik seperti itu sebelum ini. Tapi nampaknya ramai yang terperdaya dan ada yang percaya.”

Pelantun lagu Mewangi itu turut membuat permohonan maaf sekiranya mana-mana pihak yang telah terpedaya dengna gimik tersebut.

“Saya minta maaf kalau ada yang terperdaya dengan gimik itu, saya tak sangka ada yang prihatin dengan saya apabila IG saya digodam. Terima kasih yang ambil berat.”

“Peminat sejati Akim & The Majistret mungkin boleh baca, tetapi yang bukan peminat tegar pasti percaya yang akaun Akim dah kena godam. Bila peminat tahu itu gimik ramai yang menyirap (geram). Saya harap mereka jangan marah lama-lama.”

Dalam perkembangan lain, Konsert Akim & The Majistret dijadualkan berlangsung pada 28 Jun ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan secara langsung dalam konsert yang digambarkan sebagai manifesto muzik rock Malaysia.

Tiket boleh didapati secara dalam talian di www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM159 hingga RM249.

#Akim #Ahmad #IG #Godam