UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Hiburan

Ika Didakwa Tipu Afreena Jamin Suami Keluar, Turunkan Seksyen Pertuduhan

Gempak 13/02/2025 | 04:30 MYT
Seorang wanita yang dikenali sebagai “Ika” didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan menipu isteri pelakon dan pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi membabitkan jumlah RM105,380.

Mengaku tidak bersalah

Bagaimanapun tertuduh Nursyafiqah Hermansah, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu Afreena Suhaimi, 33, dengan memperdaya wanita itu untuk menjamin keluar suaminya dan menurunkan seksyen pertuduhan.
Perbuatan itu telah mendorong Afreena untuk membayar wang berjumlah RM105,380.00 kepada tertuduh melalui 26 transaksi kepada 5 akaun yang berbeza, yang mana beliau tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah stesen minyak di Bandar Baru Bangi di sini antara pukul 6.06 petang pada 22 Disember 2024 hingga 1.24 petang pada 14 Januari lalu.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi dari sepuluh tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Kim Kiek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.

“Tertuduh hanya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM1,000 selain mempunyai tiga anak berusia tiga hingga lapan tahun manakala suaminya pekerja retail dengan gaji RM2,500 sebulan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Nurdiyanah
membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 21 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan kertas siasatan berhubung kes penipuan itu melibatkan Afreena yang juga isteri Along Cham, telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Afreena tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang RM95,180.
Menurut laporan Afreena, wang itu diserahkan untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan dan mengurangkan hukuman mahkamah.
Susulan laporan diterima, polis menahan suami isteri berusia 20-an di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada 29 Januari lalu.
Suspek wanita yang ditahan itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan penipuan di empat negeri iaitu di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.
Sumber: Kosmo Online
#Along Cham #Mahkamah #Ika #Afreena
;