Berita
Ikhwan Fatanna Dikritik Suara Seperti Perempuan, Sasar Hasilkan 100 Lagu Ciptaan Sendiri
Lagu Bismillah dan Jannah berjaya melonjak nama Ikhwan Fatanna dikenali ramai pendengar di radio tapi tidak ramai yang tahu bakatnya menulis lirik dan sebagai komposer yang sudah menghasilkan 30 lagu ciptaan sendiri.
Jelasnya, dia pernah mencuba nasib menyanyikan single Jatuh Cinta pada tahun 2013 tapi tidak menjadi kerana faktor kurang bersedia dan tidak tahu genre yang sesuai dengan jiwanya.
"Saya ambil keputusan bergerak sendiri selepas habis kontrak dengan label lagu tersebut sebelum berjumpa dengan komposer, Omar K dan mencuba genre Islamik," katanya kepada Astro Gempak.
Di sebalik populariti dua lagu tersebut yang kerap dimainkan di stesen radio, penyanyi berusia 28 tahun ini turut dikritik apabila suaranya disalah anggap seperti suara perempuan.
Ikhwan yang ditemui ketika program Planet Mawi malam tadi tidak berkecil hati dengan kritikan tersebut sebaliknya bersyukur dengan penerimaan pendengar terhadap dua lagu popularnya itu.
"Saya selesa dengan genre sebegini selepas melalui penghijrahan. Sebelum mula menghasilkan lagu Bismilah saya sekeluarga dapat rezeki pergi umrah.
"Sebelum pergi umrah, saya sebenarnya dah putus asa terhadap industri muzik dan berdoa pada Allah," katanya.
Apabila kembali dari umrah, dia dipertemukan dengan Omar K sebelum mereka bekerjasama dengan dua popular tersebut.
Ikhwan yang pernah mencuba nasib menerusi ujibakat Akademi Fantasia musim kelapan menyatakan dia kini sepenuh masa menyanyi dan menulis lagu.
"Saya banyak melibatkan diri dengan menulis lagu. Jika tidak menyanyi, saya ada di studio.
"Saya mempunyai sasaran tulis 100 lagu yang saya buat. Buat masa ini saya sudah mempunyai 30 lagu di mana 22 lagu sudah 'release' yang dinyanyikan artis lain seperti Hakim Rusli dan Naim Danial," katanya yang berkebolehan bermain gitar dan piano.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak