Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Iklan Raya Monsta BoBoiBoy Catat 1.9 Juta Tontonan, Trending Di Malaysia & Indonesia

Azwa Rahman
17/05/2021 08:55 MYT
Sebuah iklan raya 2021 Monsta berjudul Memori Eidulfitri berjaya mendapat tontonan tertinggi di YouTube, sekaligus tersenarai di tangga pertama koleksi iklan raya tahun 2021.

Menerusi iklan berdurasi lebih empat minit itu, ia memaparkan suasana generasi keluarga BoBoiBoy menyambut Hari Raya di dalam tiga masa yang berbeza.

Menurut Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal Aabidin, iklan tersebut memberi impak kepada penonton yang berdepan situasi pandemik di mana mereka sukar bertemu ahli keluarga dan sanak-saudara tercinta.

“Secara keseluruhannya, penonton kami tersentuh melihat memori BoBoiBoy bersama ayahnya Amato dan merasai kesedihan terpisah daripada keluarga setelah sudah lama tidak bertemu dengan mereka.

“Iklan raya pada tahun ini secara tidak langsung merupakan hadiah istimewa daripada Monsta kepada semua peminat di atas sokongan penuh terhadap siri animasi tempatan, BoBoiBoy dan Mechamato,” jelasnya lagi.

Iklan raya ini mengisahkan perjalanan Amato (Mechamato; bapa BoBoiBoy) semasa remaja dan kemudiannya Amato bersama anaknya BoBoiBoy dan diikuti dengan BoBoiBoy sebagai remaja pada masa sekarang yang tinggal bersama datuknya.

Memori Eidulfitri ini turut menampilkan dua karaktee utama wanita iaitu nenek BoBoiBoy, Umi dan wanita misteri di dalam jubah biru yang dikatakan ibu BoBoiBoy.

Sementara itu di laman sosial Twitter, tanda pagar #MemoriEidulfitri dan #BoBoiBoy turut tersenarai di dalam senarai ‘trending’ di Malaysia dan Indonesia selepas satu jam setengah dimuat naik.

Sehingga kini, iklan raya Memori Eidulfitri telah mencacat hampir 1.9 juta tontonan di dalam Facebook rasmi BoBoiBoy.
#Iklan raya Aidilfitri #Iklan raya Monsta #Memori Eidulfitri
;