Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin berkongsi sedikit tips buat usahawan yang sedang berhadapan detik sukar ekoran pandemik COVID-19 ketika ini.

Menurut Mila, jika seseorang itu terdetik untuk melakukan kebaikan dan mencari rezeki dengan cara baru, ia mesti disegerakan tanpa menunggu lama.

"Apabila kita dalam keadaan susah, kita kena ikut apa detikan hati kita, saya selalu percaya Allah SWT akan mendatangkan detikan-detikan yang baik dalam hati kita.

"Sebagai contoh, hari ini Allah mendetikkan hati kita untuk berniaga nasi lemak, maka teruslah laksanakan, jangan tunggu-tunggu dan berfikir banyak kali tanpa ambil tindakan," katanya kepada Gempak.

Kata Mila, dia berpendapat sebegitu kerana umat Islam sentiasa berdoa meminta Allah SWT menunjukkan jalan yang lurus dan mendatangkan kebaikan.

"Kita sering berdoa kepada Allah agar menunjukkan jalan yang lurus dan peluang-peluang baru buat kita, jadi, apabila terdetik sesuatu yang positif, lakukan saja.

"Kalau kita tak ambil tindakan, kita akan kerugian kerana mungkin itu peluang Allah SWT mahu membantu kita," katanya lagi.

Mila adalah pengasas dan pemilik syarikat Bizmilla yang menawarkan pakej perkahwinan, katering dan lain-lain.

Difahamkan, jumlah keseluruhan pekerja Mila sehingga hari ini mencecah sekitar 117 orang dibawah enam syarikat yang diuruskannya

Mila juga sedang aktif berniaga durian yang semakin mendapat sambutan di media sosial.