"Ikut Petua Netizen Mandikan Air Laut" - Anak Nubhan Hidap Gegata Selepas Hadir Kenduri Kahwin

Amri Hassan
Ogos 28, 2019 10:14 MYT
Anak bongsu penyanyi Nubhan, Ahmad Aaffan, hampir sembuh daripada masalah kulit gegata yang dihidapnya sejak seminggu lalu.
Kata Nubhan, dia mengikut petua untuk memandikan anaknya itu dengan air laut seperti yang dicadangkan netizen.
"Teruk juga anak saya kena gegata sampai sepet mata. Dia kena pun selepas kami pulang daripada menghadiri sebuah kenduri kahwin.
"Mungkin disebabkan hama dan debu.
"Saya sudah membawanya ke klinik untuk mendapatkan konsultasi doktor dan katanya akan berkurang dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
"Tapi sebagai ibu bapa, saya tak sanggup melihat anak saya menangis sebab sakit. Mujurlah ada netizen yang berkongsi petua untuk memandikan dengan air laut," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Tak Tahan di Love @ Matic, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sehari sebelum majlis tersebut Nubhan telah membawa anaknya itu ke Port Dickson seperti yang dinasihatkan dan sehari kemudian hampir 80 peratus gegata pada badan anaknya sudah pulih.
"Netizen tak hanya tahu mengecam sahaja, ada juga yang bermanfaat seperti ini," tambahnya.
Nubhan yang mendirikan rumah tangga bersama Dr. Afifah Hidayah Tawfek pada 2015 telah dikurniakan dua cahaya mata, Aafiya, 2 tahun dan Aaffan, 7 bulan.
#Anak #Nubhan #Nubhan #Gegata