Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ikutkan Sebelum Ini, Ayah Tak Pernah Ada Masalah Paru-Paru Berair,” - Keadaan M Duad Kilau Masih Kritikal

Gempak
08/09/2022 09:30 MYT
Raja gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau dikejarkan ke unit kecemasan di Hospital Teluk Intan (HTI) dengan menaiki ambulans sekitar pukul 12 tengah malam, tadi selepas mengadu sesak nafas.

Menurut anak kepada M Daud Kilau iaitu Ahmad Zaini, bapa yang alami sesak nafas sejak petang semalam disahkan mempunyai masalah paru-paru berair.

“Lebih kurang 5 petang semalam, ayah mengadu sesak nafas dan terus bawa ke klinik berdekatan. Pegawai perubatan itu suruh ayah pergi hospital sebab alami paru-paru berair.

“Tapi bila ayah call doktor, dia kata tak payah… hanya makan ubat saja sebab tak kritikal. Tapi dalam pukul 12 tengah malam itu, ayah diserang sesak nafas dan dikejarkan ke hospital terus.

“Ikutkan sebelum ini, ayah tak pernah pun ada masalah paru-paru berair,” kata Zaini ketika dihubungi Gempak.

Penyanyi lagu Cek Mek Molek itu pernah dimasukkan ke HTI selepas mengadu sesak nafas dan menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Sementara itu, Zaini turut memaklumkan keadaan bapanya masih tidak berubah dan ahli keluarga masih menunggu perkembangan terbaharu daripada pihak doktor yang merawat.

“Malam tadi keadaan ayah memang agak kritikal. Air dalam badan dia terlalu banyak dan doktor dah keluarkan pagi ini. Keadaan beliau sekarang tak banyak berubah dari mula-mula sampai.

“Insya-Allah kami tengah tunggu doktor maklumkan macam mana keadaan beliau petang ini,” ujarnya.

;