Peminat muzik awal 2000-an pastinya teruja menantikan boy band terkenal dari Britain, Blue yang akan singgah di Malaysia sempena Konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour pada 10 Februari 2023 di Plenary Hall, KLCC nanti.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions & Happymoon, Konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour kehadiran kumpulan yang dianggotai oleh Duncan James, Lee Ryan, Simon Webbe dan Antony Costa itu akan mengimbau semula kenangan ketika era itu.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, pihaknya teruja untuk membawakan Blue sempena siri jelajah meraikan ulangtahun ke-20 mereka.

"Kami dan Happymoon sangat teruja untuk mengumumkan bahawa sebuah lagi konsert bakal dianjurkan dengan membawa salah sebuah boy band British yang terkenal iaitu Blue dalam rangka jelajah mereka di serata dunia bagi meraikan ulangtahun ke-20 penubuhannya.

"Hitman Solutions dan Happymoon menjanjikan hiburan tanpa henti untuk meraikan 2023 dengan pelbagai konsert, bukan sahaja artis tempatan tetapi artis antarabangsa juga demi memenuhi permintaan peminat muzik yang mendambakan acara konsert terus-menerus," katanya.

Tambah Pengasas Happymoon, Kesavan Perusotman, kerjasama kedua-dua pihak itu berhasil mewujudkan impak positif kepada peminat muzik tempatan.

"Blue adalah pilihan boy band yang tepat kerana mereka sedang meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu sejak awal 2000-an dengan siri jelajah dunia yang dikenali sebagai 'Heart & Soul Tour' untuk meraikan peminat dari dulu hingga sekarang.

"Pada malam konsert, kami menjangkakan penonton akan bersama-sama menyanyikan lagu hit seperti 'All Rise', 'One Love', 'If You Come Back' dan banyak lagi selain mengimbau kembali zaman percintaan di alam remaja," ujarnya.

Jualan tiket konsert 'Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour' bermula pada 4 Januari 2023, yang terbahagi kepada 5 kategori utama, VVIP dengan 'Meet & Greet' (RM688), VIP (RM488), DIAMOND (RM358), PLATINUM (RM258) dan GOLD (RM188) di laman web rasmi www.hitmanlive.com.