Imej Baru Undang Kecaman, Ryan Deedat Tak Kecil Hati

Kamaruddin Razal
Oktober 9, 2019 01:22 MYT
Penyanyi Ryan Deedat yang kini tampil dengan gaya rambut warna putih perak tidak kecil hati dengan segelintir pihak yang mengecam penampilan barunya.
Menerima kritikan itu dengan hati yang terbuka, Ryan yang merupakan calon Top 5 Artis Baru Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32) tidak terkesan dengan kecaman yang diberikan.
"Saya menerima segala teguran.. Bila ada orang tegur, itu menjadi petanda masih ada pihak yang mengambil berat.
"Sejujurnya, saya langsung tak terkesan dengan kritikan atau kecaman. Saya tampil dengan gaya rambut sebegini di acara ABPBH 32 kerana mahu bereksperimen. Saya mahukan satu kelainan dan tidak sangka ia menjadi perhatian," katanya.
Tambah pelantun lagu Salima ini, dia memang merancang untuk menghitamkan semula warna rambutnya.
"Imej sebegini bukanlah selama-lamanya. Sebagai artis baru, saya masih mencari identiti diri, lebih-lebih lagi dari segi imej dan penampilan. Tak salah untuk saya melakukan sesuatu yang berbeza.
"Saya ada perancangan nak menghitamkan kembali rambut saya. Buat masa ini, ada yang suka dengan penampilan ini. Tidak kurang juga yang mengkritik dan mengecam sehingga menimbulkan rasa kurang senang.
"Saya memohon maaf jika penampilan ini mengguris hati peminat yang mengambil berat. Saya akan memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan," katanya lagi.
Dalam perkembangan terbaru, Ryan kini muncul dengan single terbaru yang bertajuk Jika Memang Harus yang dicipta oleh Aepul Roza, vokalis kumpulan Drama Band.
#Penyanyi #Penyanyi #Ryan Deedat