Nusantara
Imej Diejek Jadi Kostum Halloween, Melly Goeslaw Naik Hantu! "Bagi Saya Tak Lucu Sama Sekali"
Tidak meriah sambutan Halloween tanpa kostum yang tampil dengan pelbagai cara penuh kreatif!
Namun, lain pula yang terjadi di Indonesia apabila bintang popular Melly Goeslaw mengamuk apabila imejnya dijadikan bahan ejekan di sebuah parti Halloween baru-baru ini.
Dalam parti yang turut dihadiri Rossa dan Bunga Citra Lestari itu, jurusolek Bubah Alfian dilihat menggayakan sepersalinan hitam mirip Melly.
Malah dalam sepotong video yang dimuat naik di Instagram penyanyi Vidi Aldiano kelihatan Bubah menggayakan kostum dan berperlakuan seperti Melly.
Berang dengan tindakan itu, Melly memuat naik entri di Instagramnya malam tadi menyatakan tindakan itu seolah-olah membulinya.
"Saya memang marah! Marah sangat.
"Selama ini pesta kostum yang mengatasnamakan saya, saya tak pernah marah kerana selalu diwakilkan dengan baik, bukan main-main dan menjadi bahan ketawa.
"Bagi saya ini membuli. Terpulanglah kalau bagi anda ini lucu. Buat saya tak lucu sama sekali," tulis Melly.
Saranan Melly agar individu di sekelilingnya lebih sensitif dan peka agar tidak menjadikan imej dan pakaiannya sebagai bahan lawak.
"Biarpun itu pesta kostum tetapi saya bukan hantu.
"Orang boleh suka atau tidak dengan cara anda berpesata dan harus ada yang yang berani menegur anda seperti saya," tambahnya.
Dalam pesta itu, Rossa mengenakan pakaian seperti Cleopatra dan ada beberapa rakan baik mereka berpakaian seakan-akan Syahrini, Krisdayanti dan Atta Halilintar.
Melly juga memberikan contoh terbaik Kourtney Kardashian yang pernah mengenakan kostum seperti Ariana Grande dalam cara yang bermaruah.
Walaubagaimanapun, Bubah telah tampil memohon maaf kepada Melly di atas ketelanjuran perbuatannya.