Penampilan dan imej terkini usahawan kosmetik Datuk Vida kebelakangan ini kembali menuai perhatian ramai.

Banyak yang beranggapan gaya solekan dan tata rias yang dikenakan pada wajahnya keterlaluan, malah mengerikan. Justeru itu banyak yang memberi pelbagai gelaran kurang enak dan jelik terhadap penampilan ibu Cik B dan Kacak tersebut.

Tidak kurang juga warganet berasa gaya hijab dan pilihan warna ‘menjerit’ yang digayakan Vida kini punya persamaan dengan penyanyi yang selalu tampil eksentrik, Aina Abdul.

Malah ada warganet yang bergurau dengan mengatakan: “Order Aina, dapat Vida.”

Saat persoalan tersebut dilontarkan kepada Aina, penyanyi lagu Sumpah itu hanya ketawa.

“Order Aina, dapat Vida. Saya tak perasan komen ini, tapi apa apa sajalah netizen.

“Ya tapi ini lucu, saya harap Datuk Vida tak kecil hati sebab tiba tiba Aina ada dalam kehidupan beliau. Tak nak beliau serik pula dengan saya, sebab kami rakan selebriti yang menghormati di antara satu sama lain. Harapnya Vida tak marah,” ulas Aina kepada Gempak.

Aina kemudian menjelaskan terdapat persamaan dalam penampilannya dengan Vida kebelakangan ini barangkali kerana mereka berkongsi tim stylist yang sama.

“Kami sebenarnya berkongsi stylist yang sama jadi mungkin ia kelihatan sedikit sama. Namun, Vida membawa style dan fesyen dalam gayanya sendiri.

“Dan saya suka Datuk Vida sebab beliau berani dan kental. Dua sifat ini yang sesuatu kita kena raikan dan saya mahu. Misalnya saya rasa saya sudah cukup berani, tapi saya tak. Saya puji dengan semangat beliau,” kata Aina.

Terdahulu Vida juga telah menjelaskan, penampilan jeliknya termasuk berbulu mata putih yang disamakan seperti anime adalah rangkaian dari promosi awal single terbaharunya.

Sebelum ini Vida yang merupakan Presiden Netizen dalam program Big Stage pernah muncul dengan single I Am Me.