Imej Seksi Dikecam, Sasha Aziz Ada Modarator Kawal Komen Ketika Buat 'Live' - “Pakai Tudung Ke Tak Bertudung Ke, Sehingga Sekarang Saya…”
Asyikin Mayudin
07/01/2023 07:50 MYT
07/01/2023 07:50 MYT
Pernah tampil berhijab, pempengaruh Sasha Abdul Aziz mengakui dia sudah lali dan kalis dengan kecaman selepas mengambil keputusan untuk kembali ‘free hair’.
Tidak mahu mengambil serius komen negatif, Sasha turut mendedahkan dia mempunyai modarator untuk mengawal situasi ketika membuat siaran langsung di laman sosial.
“Pakai tudung ke tak bertudung ke, sehingga sekarang saya sering dikecam. Jadi saya mengambil pendekatan untuk melihat apa yang berlaku sebagai perkara positif.
“Dimana-mana pun pasti ada teguran, tapi saya memilih untuk tidak mengambil terlalu serius kata-kata negatif. Mungkin sudah terbiasa, apabila baca komen begitu saya biar ia berlalu.
“Mujur sekiranya saya ‘live’ di mana-mana medium, ada modarator yang mengawal komen. Jika keterlaluan mereka yang akan menyekat atau mengambil tindakan selanjutnya.
“Bukan apa, saya perlu menjaga kesihatan mental saya, terutama sewaktu live. Mungkin ada yang melihat live itu begitu harmoni, namun ia melibatkan banyak pihak,” katanya.
Sekitar awal tahun lalu, Sasha mengejutkan netizen apabila tiba-tiba sahaja mengenakan hijab namun penampilan itu hanya bertahan tidak sampai empat bulan.
Untuk rekod, Sasha yang mendirikan rumah tangga dengan warga Korea sekitar tahun 2019 turut dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Isabella Liu dan Ilya Rose.