Lebih lima tahun mempertaruhkan karya dan mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan, cita-cita kumpulan Insomniacks kini tercapai untuk muncul dengan rakaman 'Extended Play' (EP) sulung.

Semestinya, saat ini paling dinantikan kumpulan ini. EP berjudul Kepala Batu ini diambil tajuknya daripada sebuah single terdahulu mereka.

Bukan sekadar teruja, Insomniacks turut memastikan kualiti EP yang memuatkan lima lagu ini menepati tahap sebagaimana diimpikan mereka.

Mereka juga menolak untuk sekadar tangkap muat lagu-lagu dalam EP terbabit kerana mahukan yang terbaik untuk 'anak sulung' mereka.

“Saya cuma mahu katakan, kegembiraan kami amat sukar untuk digambarkan apabila akhirnya dapat berkongsi lagu-lagu yang bersifat peribadi buat kami ini kepada semua.

"Tambahan pula, bukan calang-calang tulang belakang yang memastikan kualiti EP ini berada pada tahap terbaik. Ia menjadikan EP ini lebih cukup bermakna dan istimewa buat kami.

“Sepanjang proses menyiapkan EP ini, pengalamannya sangat menyeronokkan setiap kali masuk studio. Taja yang berperanan sebagai penerbit dan jurutera bunyi sememangnya seorang handalan untuk bekerja bersama," kata Iqie yang merupakan vokalis kumpulan Insomniacks.

Difahamkan, single taruhan utama menerusi EP ini adalah Reminisensi.

“Reminisensi adalah lagu pertama yang kami tulis sebagai sebuah band. Dari segi liriknya, lagu ini berkisar mengenai seseorang yang berusaha untuk menyakinkan diri agar mampu teruskan hidup daripada genggaman kisah silam.

"Ia juga turut menyentuh mengenai suka-duka serta pahit manis yang dialami seseorang dalam apa juga jenis hubungan yang pernah mereka lalui sebelum ini," tambah Iqie.

EP Kepala Batu dan single Reminisensi boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, KKBox.