Pelawak Atu meluahkan rasa syukur selepas impian memiliki van untuk kerja-kerja pengurusan jenazah menjadi kenyataan.

Atu ketika dihubungi Gempak berkata, bagaimanapun Van tersebut masih belum boleh dihantar ke Kudat, Sabah kerana perlu menjalani pengubahsuaian.

Katanya, dia mahu mengubah suai van tersebut supaya dilengkapi dengan tempat mandi jenazah untuk tujuan pengurusan yang lebih sistematik.

“Kalau saya cakap ‘gembira’ orang kata klisye pula. Tetapi itulah perasaan saya ketika ini. Saya tidak menjangkakan impian akan menjadi nyata.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi dan telah banyak membantu dalam urusan ini,” katanya.

Ditanya mengenai kos yang dikeluarkan untuk van jenazah tersebut, Atu tidak berselindung dan memberitahu ia berharga sekitar RM121,000.

“Kos tersebut untuk van sahaja. Untuk ubah suai belum lagi, jadi saya tidak tahu berapa yang perlu ada. Insya-Allah saya akan usahakan dalam masa terdekat untuk menjayakan misi van jenazah bagi fakir miskin ini.

“Saya mahu van diubahsuai dan dilengkapi kemudahan memandikan jenazah termasuk sistem paip yang baik. Saya pernah tengok van bapa mentua Ajak Shiro di Kluang, Johor.

“Lagipun saya rasa ia sangat sesuai selepas mengambil kira saiz rumah di perkampungan sekitar Kudat yang kecil selain surau dan masjid jauh dari kawasan penempatan.

"Saya harap van tersebut selepas dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan dapat mengatasi masalah pengurusan jenazah. Mana tahu,selepas ini kami boleh luaskan perkhidmatan di luar daerah Kudat," katanya.

Tambah Atu dia juga mahu meluaskan perkhidmatan misi van jenazah untuk fakir miskin sehingga ke Sarawak.

Selain itu, dia turut memasang impian untuk membina masjid di Kudat.

“Semoga impian saya menjadi kenyataan. Biarlah harta saya tidak banyak di dunia tetapi adalah sedikit bekalan yang boleh saya bawa ke akhirat nanti,” katanya positif.

Dalam perkembangan lain, Atu kini sedang sibuk di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021 bersama kumpulan Boro, bergandingan dengan Fad dan Achey.

A post shared by Shafeeqa Johari (@shafeeqa_johari)