Penyanyi Najwa Latif, 22, telah berjaya bergelar graduan bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) semalam.

Najwa, 22, menjadi antara penerima ijazah sarjana muda bidang tersebut dalam Istiadat Konvokesyen kali kelima Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Khabar gembira itu dikongsikan oleh Najwa sendiri menerusi akaun Instagramnya bersama ucapan penghargaan kepada keluarga yang sentiasa menyokongnya.

“Salah satu impian saya untuk tahun 2017 sudah dipenuhi.

"Kepada Mama, Kak Iza, Kak Ika, Abang Farihiin, Adik, Abang Azahari serta semua peminat, saya sudah bergelar graduan!,” tulis Najwa bersama tanda pagar (hashtag) #WawaDahGrad.

Kemas kini beberapa entri Instagramnya itu dihujani ucapan tahniah daripada peminat setianya.

"Boleh buat lagu 'Finally Dah Grad'," saran salah seorang pengikut akaun Instagramnya.

"Tahniah! Abaikan kata-kata orang anda tenggelam timbul dalam industri ini. Anda tak perlu jadi popular pun untuk orang ingat tetapi hasil kerja anda buat orang rasa bangga," tulis @nisa_rina.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @njwalatif